SHAH ALAM, 17 April (Bernama) -- Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersedia memberi bantuan sewaan rumah sementara kepada mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata pihaknya sedang berbincang dengan kerajaan negeri agar mangsa terjejas mampu mendapat tempat tinggal selesa bagi meneruskan kehidupan mereka.
Bagaimanapun Mahmud berkata segala proses permohonan dan tawaran berkaitan sewaan itu diuruskan oleh kerajaan negeri serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
“Insya-Allah bayaran sewa (bulanan) kita rendah namun perkara ini akan ditentukan oleh kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Beliau berkata antara lokaliti boleh ditawarkan adalah di Seksyen 6, 7 dan 13 Shah Alam selain di Kuala Lumpur meliputi pelbagai bentuk kediaman antaranya pangsapuri, kondominium, rumah teres, semi-D dan banglo.
Kumpulan PKNS hari ini turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin sebagai menyokong usaha kerajaan negeri membantu mangsa dan proses pemulihan serta pembangunan semula susulan kebakaran itu.
Mahmud menyerahkan sumbangan itu kepada Pegawai Kewangan Negeri Selangor Datuk Dr Haniff Zainal Abidin dengan disaksikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celcius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial