GEORGE TOWN, 17 April (Bernama) -- Persiapan bagi pelaksanaan serentak 23 projek kerja air di Pulau Pinang bermula 25 April ini adalah memuaskan, dengan projek tersebut sedia dilaksanakan secara selamat, pantas dan berjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K.Pathmanathan berkata ia berdasarkan dapatan petugas kanan kejuruteraan PBAPP terhadap kerja-kerja penyediaan tapak di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan Jalan Pengkalan Tambang, Sungai Perai selama dua hari bermula Isnin lepas.
Beliau berkata persiapan juga dibuat untuk memulakan kerja air sampingan di Bukit Minyak, Kompleks Kolam Air, Stesen Pam Bukit Gedung, Jalan Datuk Ismail Hashim, Tun Dr Awang dan Stesen Pam Teluk Kumbar.
“BAPP telah memberi lampu hijau untuk pelaksanaan 23 projek termasuk projek utama yang antara lain melibatkan pembaikan saluran paip 700 milimeter bocor dan enam kerja naik taraf rumah pam LRA Sungai Dua serta penggantian injap 1.2 meter rosak di saluran paip di Jalan Pengkalan Tambang berhampiran LRA Sungai Dua.
“Ini juga melibatkan kerja penyambungan akhir saluran paip menyeberangi Sungai Perai 1.35 meter, pelencongan bahagian saluran paip 0.9 meter di Kompleks Majlis Sukan Negeri di Batu Uban dan tiga projek menaik taraf operasi pengepaman semula air terawat di Kompleks Kolam air dan Stesen Pam Bukit Dumbar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang akan terkesan dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) dari 25 hingga 28 April, ekoran pelaksanaan 23 projek itu yang melibatkan kos keseluruhan RM25 juta.
Sementara itu Pathmanathan berkata pelaksanaan projek itu adalah untuk manfaat pengguna, antaranya membolehkan PBAPP mengepam dan mengagihkan lebih banyak air terawat pada tekanan lebih tinggi daripada LRA Sungai Dua, kepada kira-kira 465,000 pengguna air di Seberang Perai dan bahagian pulau.
"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pagi 28 April. Pengguna di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut dijangka menerima semula bekalan dalam tempoh 24 jam manakala Seberang Perai Selatan dan Barat Daya antara 48 hingga 60 jam," katanya.
PBAPP memohon maaf atas kesulitan disebabkan pelaksanaan projek itu dan pengguna boleh melayari Facebook PBAPP atau laman web www.pba.com.my untuk butiran terperinci kawasan terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial