PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Presiden China Xi Jinping hari ini menzahirkan keyakinan Malaysia akan mencapai kejayaan yang lebih gemilang di bawah kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Xi berkata Malaysia telah berkembang pesat dan mencapai kemajuan besar dalam pemodenan sejak kali terakhir beliau melawat negara ini 12 tahun lepas.
“Semasa lawatan saya pada 2013, saya amat terpesona dengan keindahan alam semula jadi Malaysia, kepelbagaian budaya dan kebaikan hati rakyatnya.
“Saya tidak ragu-ragu di bawah kepimpinan Sultan Ibrahim dan Anwar, Malaysia akan menjadi lebih berdaya maju dan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam membangunkan Malaysia MADANI," katanya dalam ucapan pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh Anwar di Seri Perdana di sini hari ini.
Beliau turut menekankan betapa kedua-dua negara telah mencapai kemajuan dalam tempoh 50 tahun hubungan diplomatik.
Beliau menyifatkannya sebagai “hubungan yang dibina kukuh seperti batu dan akan terus menjadi lebih teguh".
"Dari segi politik, kami saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain. Dari segi ekonomi, kami menikmati kerjasama yang saling menguntungkan... dari segi budaya, kami saling belajar dan memperkaya antara satu sama lain. Hubungan ini memberi manfaat nyata kepada rakyat," kata Xi.
Xi turut menekankan bahawa lembaran sejarah baharu dalam hubungan Malaysia-China telah dilakar pada 2023, apabila kedua-dua negara bersetuju dengan visi untuk membina komuniti yang berkongsi masa depan bersama.
Lawatan negara tiga hari Xi ke Malaysia bermula semalam atas undangan Sultan Ibrahim.
Ini merupakan lawatan rasmi kedua pemimpin China itu ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun selepas kunjungan terakhir beliau pada 2013, yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Antara kenamaan yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial