KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- The Exchange Asia menerusi Magnate Media Sdn Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ESG Association Malaysia (ESGAM) untuk memperkukuh kredibiliti Anugerah ESG PLUS 2025.
Anugerah itu bertujuan mengiktiraf kepimpinan dan inovasi cemerlang dalam aspek-aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) antarabangsa serta bertindak sebagai sebagai platform pengiktirafan serantau.
Pengarah Magnate Media Jasmine Cheung berkata kerjasama itu merupakan satu komitmen terhadap akauntabiliti, keterangkuman dan impak jangka panjang di seluruh Asia.
“Melalui Anugerah ESG PLUS 2025, kami berhasrat bukan sahaja memberi pengiktirafan, tetapi mewujudkan platform yang mencabar organisasi untuk memimpin secara bertanggungjawab, melibatkan diri secara bermakna dan berkembang secara lestari.
“Dengan ESGAM sebagai rakan strategik, kami yakin dapat membentuk wacana ESG yang lebih mantap di rantau ini,” katanya menerusi satu kenyataan bersama hari ini.
Sementara itu, Presiden ESGAM Profesor Adjung Cheah Kok Hoong berkata pengiktirafan dalam ESG bukan sekadar penghargaan, tetapi satu seruan untuk tindakan dan penambahbaikan yang berterusan.
“Anugerah ESG PLUS 2025 menyediakan platform penting untuk penanda aras, pembelajaran dan inspirasi merentas industri.
“ESGAM berbangga menyumbang kepakaran kolektif kami bagi memastikan piawaian integriti dan impak tertinggi dipatuhi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Anugerah ESG PLUS 2025 terbuka kepada pelbagai kategori seperti syarikat tersenarai awam, syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, syarikat pemula niaga, inisiatif ESG serantau serta individu yang aktif dalam amalan ESG.
Katanya bagi syarikat tersenarai dan organisasi korporat, penyertaan dalam anugerah berkenaan memberikan peluang unik untuk menyerlahkan kepimpinan ESG yang sebenar di luar tahap pematuhan semata-mata.
“Ia juga menjadi platform berharga untuk memaparkan kesan yang boleh diukur, berkongsi kisah kejayaan ESG dan mengukuhkan reputasi sebagai organisasi yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh.
“Melalui penilaian yang telus dan liputan media yang meluas, Anugerah ESG PLUS 2025 memberi ruang kepada organisasi untuk berkongsi naratif ESG mereka dengan keaslian, meraikan kemajuan dan mendorong tindakan kolektif merentas industri,” katanya.
Pencalonan untuk Anugerah ESG PLUS 2025 kini dibuka dengan malam gala anugerah dijadualkan pada September 2025, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial