AM

Presiden Xi Zahir Komitmen Utuh Perkasa Kerjasama Dua Hala Dengan Malaysia

16/04/2025 09:11 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Presiden China Xi Jinping hari ini menzahirkan komitmen utuh untuk terus memperkasakan kerjasama dua hala dengan Malaysia.

Xi berkata beliau sedia bekerja keras bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memajukan komuniti China-Malaysia dengan masa depan dalam hala tuju strategik di peringkat tinggi dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara selain menyumbang kepada kemakmuran serantau.

“Semoga silaturahim antara China dan Malaysia terus mekar demi generasi akan datang. Ini adalah kedatangan semula saya ke Malaysia selepas 12 tahun. Malaysia telah mencapai kejayaan baharu dalam pembangunan negara.

"Saya ucapkan tahniah atas kejayaan advokasi anda iaitu 'Malaysia MADANI' yang sedang direalisasikan dengan begitu indah," katanya ketika berucap sebelum memulakan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara di sini.

Beliau berkata silaturahim antara China dan Malaysia, yang merentasi jarak ribuan batu serta terjalin sejak sekian lama, telah dipupuk melalui sejarah, pertukaran budaya selain diperkukuh oleh manfaat bersama dan dipertingkat menerusi solidariti ketika mendepani kesukaran.

Xi turut berkongsi kisah Laksamana Zheng yang pernah berkunjung ke Semenanjung Tanah Melayu sebanyak lima kali dan berkata lebih 50 tahun lepas, kedua-dua negara berjaya melupakan insiden Perang Dingin untuk menjalinkan hubungan diplomatik.

“Dari masa kita bersama-sama mengharungi tempoh sukar ketika dilanda pandemik COVID-19 hinggalah ke hari ini yang menyaksikan usaha untuk membina komuniti yang berkongsi masa depan, hubungan China-Malaysia telah memasuki era baharu.

"Ia mencerminkan nilai bersama kita dalam bersatu hati, melayan satu sama lain dengan ikhlas, menegakkan keadilan dan menghargai keharmonian.

"Kesemua nilai ini merangkumi kebijaksanaan daripada segi sejarah dan keberanian rakyat kita selain melambangkan legasi bersama yang begitu bernilai dan amat kita hargai," katanya.

Antara kenamaan yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun selepas kunjungan pertama beliau pada 2013 di tengah-tengah senario geopolitik dan geoekonomi yang mencabar.      

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 dan meraikan ulang tahun ke-50 peristiwa penting itu tahun lepas.

Sejak 2009, China kekal sebahai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Pada 2024, nilai dagangan antara kedua-dua negara ialah RM484.12 bilion, menyumbang 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan