AM

119 Kilang Sediakan Lebih 7,000 Peluang Pekerjaan Di Lahad Datu

16/04/2025 02:59 PM

KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) -- Sebanyak 119 kilang dimiliki pelabur tempatan dan asing sedang beroperasi di Lahad Datu dengan jumlah pelaburan RM3.66 bilion, menyediakan 7,305 peluang pekerjaan pelbagai sektor, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini. 

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata daripada jumlah itu, sebanyak 39 syarikat tempatan dan sembilan syarikat asing beroperasi dalam Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dengan nilai pelaburan keseluruhan berjumlah RM2.386 bilion.

"Pelaburan di POIC Lahad Datu telah berjaya mewujudkan 1,950 peluang pekerjaan manakala di kawasan Silam sahaja, sebanyak lima kilang sedang beroperasi dengan jumlah pelaburan RM40 juta dan menyediakan 334 peluang pekerjaan.

"Sebanyak 66 kilang lagi menarik pelaburan RM1.2 bilion dan mewujudkan 5,021 peluang pekerjaan. Kehadiran industri ini di Lahad Datu pastinya membantu memacu pertumbuhan sosioekonomi dan memperkukuh sektor perindustrian di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dumi Pg Masdal (Warisan-Silam) yang ingin tahu jumlah syarikat tempatan serta pelabur asing beroperasi di Lahad Datu dan peluang pekerjaan yang dapat disediakan kepada anak tempatan Sabah.

Phoong berkata pihaknya juga akan membentangkan data terperinci berhubung kadar penglibatan penduduk tempatan dalam pelbagai sektor pekerjaan di Lahad Datu.

Beliau berkata POIC Lahad Datu, yang ditubuhkan kerajaan Sabah pada 2005 untuk menerajui pembangunan sektor industri hiliran kelapa sawit, mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

"Bagi mengekalkan momentum pelaburan, peluang pelaburan dalam sektor industri sokongan serta potensi pembangunan pelbagai industri baharu selain industri berasaskan kelapa sawit juga turut dibangunkan di POIC Lahad Datu,” katanya.

Berkeluasan 1,780.61 hektar, POIC Lahad Datu dilengkapi pelbagai kemudahan moden dan sokongan seperti rangkaian jalan raya, bekalan elektrik dan air, gudang serta teknologi komunikasi maklumat dengan akses mudah kepada kemudahan pelabuhan untuk menyokong pembangunan keseluruhan POIC Lahad Datu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan