AM

Kebakaran Putra Heights: Penilaian Akhir Fizikal Kediaman Terjejas Selesai - KP Bomba

06/04/2025 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kerja-kerja penilaian akhir fizikal bagi kediaman terjejas insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya telah selesai.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata laporan mengenai hasil penilaian itu akan dibawa ke pembentangan dalaman JBPM, petang ini.

“Saya maklum (kepada media) selepas pasukan penilai bentang petang ni,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata untuk kerja penilaian kawah kebakaran, lebih masa diperlukan kerana ia tidak hanya melibatkan pihak JBPM, malahan banyak agensi luar.

“Tambah pula dengan kerja-kerja menyedut keluar air yang berjalan pada setiap masa kerana ada paip aliran air berhampiran kawah… bila hujan, bertakung... kita sedut.

“Kalau ada air bukan daripada hujan pun kita sedut juga, banyak jentera digunakan bukan hanya bomba, syarikat swasta pun ada,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilapor berkata setakat Jumaat lepas, sebanyak 130 daripada 235 rumah di Taman Putra Harmoni yang terjejas insiden itu disahkan selamat dengan penghuninya telah dibenarkan pulang ke kediaman mereka.

Setakat semalam, 509 keluarga telah mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan sebahagian mangsa tidak tinggal di situ dan jumlah itu dijangka bertambah memandangkan terdapat segelintir berada di luar kawasan semasa kejadian berlaku pada hari raya kedua itu.

Mereka yang masih belum mendaftar di PPS juga dinasihatkan berbuat demikian bagi mengelakkan   tercicir daripada menerima bantuan yang diumumkan dan pendaftaran dimaklumkan tutup tengah hari ini.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan