JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Isu Gaza, Pelaburan Dan Grid Tenaga Fokus Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 – Anwar

22/05/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Situasi di Gaza, pengukuhan kerjasama antara negara anggota, kepentingan ekonomi serantau serta inisiatif pelaburan dalam kalangan negara ASEAN menjadi tumpuan dalam Pemukiman Pemimpin sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan projek Grid Tenaga ASEAN sebagai langkah besar dalam memperkukuh kerjasama tenaga serantau.

“Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, tekad untuk terus memacu ASEAN sebagai sebuah kuasa serantau yang berprinsip, dengan hala tuju ekonomi jelas dan mampan,” kata beliau dalam hantaran di Facebook. 

Beliau berkata demikian dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini malam tadi.

Mengulas isu tarif dikenakan Amerika Syarikat, Anwar berkata tumpuan Malaysia adalah terhadap pembaharuan ekonomi domestik dan memperluas kerjasama dengan rakan seperti China, India, Pakistan serta memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU).

“Malaysia kekal komited sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, meneruskan hubungan dengan rakan dagang tradisional seperti China dan Amerika Syarikat, di samping meneroka pasaran baharu termasuk menjalin hubungan dagang dengan Rusia,” katanya.

Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan pengamal media termasuk kenalan lama sambil bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa dan global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan