JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Hajiji Ucap Takziah Atas Pemergian Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan

21/05/2025 11:24 AM

KOTA KINABALU, 21 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan Tun Ahmadshah Abdullah yang meninggal dunia malam tadi.

Beliau berkata Ahmadshah banyak berjasa kepada Sabah terutama ketika berkhidmat sebagai penjawat awam negeri.

“Saya bagi pihak keluarga dan kerajaan negeri ingin menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tun. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmadshah, 78,  meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 8.45 malam, dan berita pemergian Allahyarham disahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong menerusi satu kenyataan.

Ahmadshah mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan pada 1 Jan 2003 dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyambung khidmat untuk penggal kedua bermula 1 Jan 2007 hingga 31 Dis 2010.

Sementara itu, turut menzahirkan ucapan takziah di akaun media sosial, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata jasa dan pengorbanan Allahyarham terhadap rakyat Sabah akan sentiasa dikenang.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambanya yang beriman," katanya menerusi laman Facebook.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menerusi laman Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmadshah, diikuti Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa yang mendoakan semoga Allahyarham dilimpahi rahmat dan ditempatkan bersama syuhada serta orang beriman.

Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan beliau amat sedih menerima berita pemergian Ahmadshah. 

“Tun Ahmadshah bukan sahaja seorang pemimpin dihormati tetapi juga penjawat awam yang banyak berjasa kepada Sabah. Sumbangan Allahyarham dalam perkhidmatan awam dan dunia pendidikan sangat besar dan akan terus dikenang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan