JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PM Pakistan Tangguh Lawatan Ke Malaysia Susulan Ketegangan Akibat Insiden Kashmir - PM Anwar

05/05/2025 10:09 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menangguhkan lawatan rasminya ke Malaysia yang dijadualkan pada Jumaat ini susulan ketegangan yang timbul selepas insiden serangan di Kashmir baru-baru ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Shehbaz melalui penggilan telefon semalam.

"Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing. 

"Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu," katanya.

Anwar berkata beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan sekiranya diperlukan. 

Perdana Menteri berkata hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau.

Beliau berkata Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara serta mengutarakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang sedang dirunding dan menegaskan komitmen Malaysia untuk menyegerakan urusan tersebut. 

"Insya-Allah apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut Perdana Menteri Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram," katanya.

Serangan tembakan yang meragut 26 nyawa di kawasan pelancongan Pahalgam, Kashmir pada 22 April lepas menimbulkan ketegangan antara India dan Pakistan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan