KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Syarikat teknologi yang berpangkalan di Malaysia, Nuren Group Ltd (Nuren) merancang untuk disenaraikan di Bursa Saham Nasdaq di Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Petrina Goh berkata penyenaraian yang dicadangkan itu menandakan satu pencapaian penting dalam fasa pertumbuhan seterusnya bagi Nuren Group.
Katanya, kumpulan dan anak syarikat (Nuren Group) berusaha untuk memperluas jejak pasaran modal serta memanfaatkan mudah tunai yang mendalam serta asas pelabur global di pasaran AS.
“Ini lebih daripada sekadar penyenaraian. Ia merupakan satu langkah positif ke hadapan dalam misi kami untuk membina ekosistem untuk wanita yang paling dipercayai di Asia Tenggara iaitu daripada perkahwinan hingga peringkat keibuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nuren Group juga bekerjasama dengan ZICO Evolve Capital Sdn Bhd iaitu penasihat kewangan bagi tawaran awam permulaan (IPO) tersebut.
Dalam pada itu, ZICO Evolve Capital berkata pihaknya bersama syarikat induk ZICO Holdings Inc (ZICO) dan rakan kongsinya Evolve Capital Advisory Pte Ltd menyifatkan pelantikan mereka sebagai penasihat akan merangkumi strategi keseluruhan pasaran modal, kesiapsiagaan untuk penyenaraian, hubungan serta penyelarasan dengan para profesional dan bantuan berkaitan struktur modal.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif ZICO Evolve Capital dan ZICO, Chew Seng Kok berkata Nuren Group mewakili syarikat yang berwawasan yang memiliki pertumbuhan tinggi serta mendapat sambutan dalam kalangan pelabur global terutamanya di Nasdaq.
“Kami teruja untuk bekerjasama rapat dengan pasukan ini bagi membantu membuka akses yang lebih luas kepada modal, peluang penjenamaan global dan pelan jangka panjang untuk pengembangan antarabangsa,” katanya mengenai penyedia perkhidmatan profesional pelbagai bidang yang berpusat di ASEAN itu.
Nuren Group kini disenaraikan di Bursa Saham Nasional Australia (NSX) dan sedang menilai sama ada untuk melibatkan penyenaraian dua kali ganda di NSX dan Nasdaq atau bertindak menyahsenarai daripada NSX.
"Keputusan muktamad akan dibuat setelah kelulusan untuk penyenaraian di Nasdaq diperoleh daripada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS iaitu setelah semua pertimbangan penting dinilai.
"Pengumuman lanjut akan dibuat pada masa yang sesuai bagi mengemas kini pemegang saham mengenai struktur penyenaraian yang dicadangkan selain sebarang tindakan korporat yang berkaitan termasuk penarikan diri, (jika berkenaan)," kata Nuren Group.
Portfolio Nuren Group meliputi platform terkemuka seperti Motherhood.com.my, Motherhood Parenting SuperApp, Kelabmama.com, Ibuencer.com dan Wedding.com.my apabila ia menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan terkini merentasi sektor media, e-dagang, keibubapaan serta kehamilan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial