JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Selangor Perlu RM1 Bilion Tingkat Hasil Padi

03/05/2025 08:08 PM

SABAK BERNAM, 3 Mei (Bernama) -- Selangor memerlukan sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi meningkatkan produktiviti penghasilan padi, termasuk menjayakan sasaran penanaman padi lima kali dua tahun.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata pihaknya akan berhubung dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat, bagi membincangkan isu peruntukan tersebut termasuk membuat permohonan menerusi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

“Peruntukan itu diperlukan bagi menambah baik pelbagai jenis infrastruktur seperti saliran, kolam takungan tambahan untuk bekalan air, tanah jerlus termasuk proses pengambilan tanah seluas 80.9 hektar membabitkan sawah dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam.

"Kita hadapi masalah air untuk sampai ke Sabak Bernam, oleh itu kita mahu tingkatkan lagi capaian air di kebanyakan tempat di Barat Laut Selangor, supaya mendapat bekalan air yang cukup sejajar dengan cadangan penanaman padi lima kali dua tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Izham berkata proses naik taraf itu sangat penting kerana Selangor tidak mempunyai tanah baharu untuk diusahakan para pesawah, bagi meningkatkan produktiviti padi mengikut perancangan sedia ada.

Beliau yakin kesemua penambahbaikan infrastruktur itu dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun, sekiranya Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan meluluskan peruntukan yang diperlukan.

Izham berkata pihaknya juga sedang memperhalusi pelbagai kaedah baharu untuk menyemarakkan lagi usaha kerjasama antara pihak lain dengan pesawah, sebagai inisiatif serampang dua mata meningkatkan hasil padi di negeri ini.

“Kita (kerajaan negeri) terbuka untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak membabitkan teknologi terkini termasuk FGV Holdings Berhad (FGV), yang telah menunjukkan keupayaan meningkatkan hasil sawah dalam skala besar.

“Dalam masa sama kita juga mencadangkan kepada kerajaan berhubung pemberian insentif RM100 bagi setiap tan untuk pesawah yang berjaya mengeluarkan padi sebanyak tujuh tan,” katanya.

Izham berkata Selangor mempunyai 9,000 pesawah, namun setakat ini hanya pesawah di Sungai Leman dan Sekinchan sahaja yang mampu mengeluarkan hasil sebanyak tujuh tan.

Terdahulu, Izham menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran bersama Pesawah Sungai Leman, sebelum melancarkan teknologi baja Briar & Behn Meyer’s Advance & Sustainable Series for Excellence (BASE) Dewan Seri Sekinchan, di sini yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Briar Resources Sdn Bhd Datuk Seri Syed Razlan Tuanku Syed Putra Jamalullail.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan