DUNIA > BERITA

PEMIMPIN DUNIA UCAP TAHNIAH KEPADA ALBANESE, IKRAR PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN AUSTRALIA

04/05/2025 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama)-- Pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Australia Anthony Albanese atas kemenangannya dalam pilihan raya persekutuan negara itu pada Sabtu sekali gus menegaskan komitmen mereka untuk mengeratkan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan Canberra di bawah kepimpinannya yang berterusan.  

Ucapan tahniah mencurah-curah diterima daripada pemimpin seluruh dunia dengan mereka menyatakan kekaguman terhadap kepimpinan Albanese dan keinginan bersama untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, kemampanan serta perkongsian serantau.  

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio mengucapkan tahniah bagi pihak Washington, menegaskan kekuatan pakatan AS-Australia.  

"Bagi pihak Amerika Syarikat, saya mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Anthony Albanese atas kemenangan beliau dalam pilihan raya persekutuan Australia pada 3 Mei. 

"Australia adalah sekutu, rakan kongsi dan rakan AS yang dihargai. Nilai dan tradisi demokrasi yang dikongsi bersama kami menjadi asas hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara. Amerika Syarikat berhasrat untuk mengeratkan hubungannya dengan Australia untuk memajukan kepentingan bersama serta menggalakkan kebebasan dan kestabilan di Indo-Pasifik dan global," katanya dalam satu kenyataan.  

China bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu Australia pimpinan Albanese, menurut jurucakap Kementerian Luar negara itu pada Sabtu, lapor Xinhua.  

"China mengambil maklum keputusan pilihan raya dan mengucapkan tahniah kepada Parti Buruh serta Perdana Menteri Albanese," kata jurucakap itu.  

Tambahnya, China bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu Australia dan berpandukan asas yang ditetapkan melalui persefahaman penting antara pemimpin kedua-dua negara, terus memajukan perkongsian strategik komprehensif yang lebih matang, stabil dan produktif antara China dan Australia untuk terus memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta rakyat selain menyumbang secara positif kepada keamanan dan kestabilan serantau serta antarabangsa.

Perdana Menteri Britain Keir Starmer turut mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya kerana memenangi penggal kedua, sambil menyatakan hubungan erat antara kedua-dua negara membuktikan “persahabatan jarak jauh boleh menjadi paling kukuh," lapor Agensi Berita Jerman (dpa).  

"Tahniah kepada Anthony Albanese atas kemenangan anda dalam pilihan raya. UK dan Australia kekal erat – membuktikan persahabatan jarak jauh boleh menjadi paling kuat.

“Saya yakin kita akan terus bekerjasama dalam cita-cita bersama, termasuk dalam perdagangan, pelaburan dan tenaga, demi kehidupan yang lebih baik untuk golongan pekerja di UK dan Australia,” katanya.

Beberapa pemimpin lain turut menggunakan platform X (dahulunya Twitter) untuk menyampaikan ucapan tahniah.

Perdana Menteri Kanada Mark Carney menyifatkan Australia dan Kanada adalah rakan kongsi rapat dalam dunia yang semakin berpecah belah.

"Kita berpeluang untuk membina hubungan ini dan nilai bersama demi manfaat kedua-dua negara. Saya menantikan kerjasama ini," katanya.

Bagi Perdana Menteri India Narendra Modi, beliau menyifatkan pemilihan semula Albanese sebagai "kemenangan yang memberangsangkan". 

"Mandat yang tegas ini menunjukkan kepercayaan berterusan rakyat Australia dalam kepimpinan anda. Saya berharap dapat bekerjasama untuk memperdalam lagi Perkongsian Strategik Komprehensif India-Australia dan memajukan visi bersama kami untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Indo-Pasifik," katanya.

Presiden Perancis Emmanuel Macron dalam ucapan tahniah beliau menekankan mengenai perkara yang boleh dicapai antara Australia-Perancis dalam menghadapi cabaran global, terutamanya di Indo-Pasifik.  

Presiden Indonesia Prabowo Subianto pula berikrar memperkukuh hubungan dua hala dengan Australia, menyifatkan kemenangan Albanese sebagai cerminan kepercayaan rakyat terhadap komitmennya terhadap "pertumbuhan inklusif, kemampanan dan kerjasama antarabangsa."

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba berharap untuk meneruskan kerjasama untuk mengembangkan lagi hubungan sebagai "Rakan Strategik Khas" dan merealisasikan "Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka."

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan