KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire dijadual membuat penampilan dalam aksi persahabatan menentang ASEAN All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
Ia merupakan kunjungan pertama pemain berusia 32 tahun itu ke Malaysia sejak menyertai The Red Devils pada 2019.
Maguire mengesahkan kehadirannya ke Malaysia menerusi satu rakaman video yang dikongsi penganjur jualan tiket ShekhinahPR hari ini.
"Apa khabar Malaysia, saya Harry Maguire. Jumpa saya di Stadium Bukit Jalil pada 28 Mei.
"Beli tiket sekarang. Jumpa anda semua nanti," katanya ringkas dalam video tersebut.
Manchester United kali terakhir beraksi di Malaysia pada siri jelajah pra-musim 2009, ketika itu mereka menewaskan pasukan pilihan Malaysia sebanyak dua kali di lokasi sama.
Sebagai sebahagian daripada siri jelajah pasca musim ini, skuad kendalian Ruben Amorim turut akan berkunjung ke Hong Kong untuk aksi menentang pasukan kebangsaan negara itu di Stadium Hong Kong pada 30 Mei, sebelum berdepan Leeds United di Stockholm pada 19 Julai.
United kemudian akan menyertai Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris (EPL Summer Series) di Amerika Syarikat, menentang West Ham United (26 Julai), Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).
Maguire kini berada dalam prestasi terbaik apabila menjaringkan gol kemenangan dramatik dalam aksi suku akhir kedua Liga Europa menentang Olympique Lyon di Old Trafford pada 18 April, yang menyaksikan United menang 5-4 ke atas kelab Perancis itu.
Beliau turut memainkan peranan penting ketika United menewaskan Athletic Bilbao minggu lalu apabila melakukan umpanan untuk gol pembukaan oleh pemain tengah Brazil, Casemiro dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium San Mames.
Manchester United akan menjadi tuan rumah untuk aksi timbal balik menentang Athletic Bilbao di Old Trafford, Khamis ini.
Tiket untuk perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All Stars masih boleh didapati menerusi laman web myticketempire.com.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial