EKONOMI > BERITA

PERMINTAAN BURUH MALAYSIA TERUS BERKEMBANG 1.4 PERATUS PADA ST1 2025 - DOSM

15/05/2025 02:39 PM

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Permintaan buruh Malaysia terus berkembang sebanyak 1.4 peratus pada suku tahun pertama (ST1) tahun ini dengan mencatatkan 9.06 juta jawatan berbanding 8.94 juta pada suku sama tahun lepas, menurut Statistik Guna Tenaga, Suku Tahun Pertama 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia sejajar dengan prestasi ekonomi semasa di Malaysia yang diunjur terus bertambah baik, disokong oleh permintaan dalam negara yang berdaya tahan.

Beliau berkata daripada jumlah jawatan, 97.9 peratus telah diisi manakala 2.1 peratus masih kosong.

Mohd Uzir berkata bilangan jawatan diisi meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun, mencecah 8.87 juta jawatan pada suku tahun ini berbanding 8.75 juta pada ST1 2024, dengan semua sektor menyumbang secara positif kepada pertumbuhan keseluruhan jawatan diisi, dengan sektor perkhidmatan mendahului pertumbuhan tertinggi sebanyak 1.8 peratus, diikuti sektor pembuatan serta pembinaan masing-masing pada kadar 1.5 dan 0.5 peratus.

Beliau berkata pecahan jawatan diisi mengikut aktiviti ekonomi menunjukkan sektor perkhidmatan mendominasi dengan 52.8 peratus atau bersamaan 4.69 juta jawatan, diikuti sektor pembuatan sebanyak 26.9 peratus atau 2.38 juta jawatan, mengatasi sektor pembinaan sebanyak 14.1 peratus atau 1.25 juta jawatan.

Dari segi pecahan mengikut kategori kemahiran, Mohd Uzir berkata majoriti jawatan diisi adalah dalam kategori separuh mahir dengan 5.55 juta jawatan diisi, mewakili 62.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti kategori mahir merangkumi 2.23 juta jawatan diisi dan berkemahiran rendah mencatatkan 1.09 juta jawatan diisi.

Mengenai situasi permintaan buruh semasa, Mohd Uzir berkata kekosongan jawatan pada suku tahun ini meningkat sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun kepada 194,100, meningkat daripada 191.900 pada ST1 2024. 

Beliau berkata sektor pembuatan mengekalkan kedudukan sebagai pemacu utama dalam kekosongan jawatan dengan 57.3 peratus terutama dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal 33,900 kekosongan jawatan, diikuti produk petroleum, kimia, getah dan plastik (20,200) manakala sektor pertanian dan pembinaan masing-masing mencatatkan 31,800 dan 25,400 kekosongan. 

Dari segi pecahan kekosongan jawatan mengikut kategori kemahiran pula, Mohd Uzir berkata kategori separuh mahir menyumbang peratus sumbangan terbesar iaitu 56.3 peratus atau 109,200 kekosongan, manakala kategori mahir dan berkemahiran rendah masing-masing mencatatkan 24.4 peratus atau 47,400 dan 19.3 peratus atau 37,500 kekosongan jawatan.

Mohd Uzir berkata sejumlah 33,200 jawatan baharu diwujudkan, meningkat daripada 32,100 pada suku sama tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 3.4 peratus.

"Peningkatan pewujudan jawatan khususnya dalam kategori mahir dan separuh mahir mampu menggalakkan individu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan mengikuti latihan khusus, seterusnya membina tenaga kerja yang berkemahiran dan berinovasi,” katanya.

Beliau berkata permintaan buruh di Malaysia berada pada landasan pertumbuhan yang stabil, sekali gus mengukuhkan aspirasi negara untuk memperkukuh asas ekonomi dan mencapai pertumbuhan mampan.

"Sektor pembuatan memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan permintaan buruh seperti yang dinyatakan dalam Statistik Pembuatan Bulanan, yang melaporkan peningkatan 1.1 peratus tahun ke tahun bagi bilangan pekerja dalam sektor terbabit.

“Trend ini selari dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bertujuan merancakkan pertumbuhan jawatan dan memperkasakan keupayaan tenaga kerja dalam sektor pembuatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan