EKONOMI > BERITA

SEKTOR RUNCIT DAN BORONG MALAYSIA CATAT JUALAN RM154 BLN PADA MAC 2025

13/05/2025 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM154 bilion pada Mac 2025, menandakan pertumbuhan 5.7 peratus dari tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu didorong oleh subsektor dalam perdagangan runcit dan borong.

"Perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM67 bilion, melonjak RM4.2 bilion atau 6.6 peratus dari tahun ke tahun. Perdagangan borong menyaksikan angka jualan pada RM67.8 bilion, naik RM3.7 bilion atau 5.7 peratus dari tahun ke tahun.

"Dalam tempoh yang sama, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jualan sebanyak RM19.2 bilion, mencerminkan kenaikan 2.3 peratus berbanding tahun sebelum ini," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir turut menekankan bahawa pertumbuhan dalam subsektor perdagangan runcit telah disokong oleh prestasi yang kukuh dalam pelbagai kategori, didorong oleh persediaan musim perayaan dan peningkatan perbelanjaan semasa Ramadan. 

Pengeluaran bantuan Aidilfitri khas, bersama dengan RM1.7 bilion di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dengan ketara telah merangsang aktiviti pengguna. 

"Ini membawa kepada trafik pengguna yang lebih tinggi di pasar raya, pusat membeli-belah dan kedai runcit lain," katanya.

Pada Mac 2025, Mohd Uzir menjelaskan perdagangan borong kekal berdaya tahan,  disangga oleh permintaan domestik yang mantap bagi barangan isi rumah dan makanan, seiring dengan musim perayaan.

Jualan dalam barang-barang isi rumah pula melonjak 7.6 peratus kepada RM14.5 bilion, disokong oleh permintaan yang agak tinggi dalam kategori seperti barangan farmaseutikal dan perubatan, wangian, kosmetik, peralatan mandi dan perhiasan.

"Pemborongan dalam makanan, minuman dan tembakau juga menyaksikan penambahan 7.7 peratus, mencapai RM14 bilion," katanya.

Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan berbanding Mac tahun lepas, diterajui oleh peningkatan sebanyak 4.1 peratus kepada RM5.2 bilion dalam penjualan alat ganti serta aksesori kenderaan bermotor, diikuti dengan kenaikan 1.5 peratus dalam jualan kenderaan bermotor kepada RM10.1 bilion.

DOSM juga melaporkan bahawa jualan runcit dalam talian menokok 7.1 peratus dari tahun ke tahun pada Mac, didorong oleh promosi perayaan. 

"Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit naik sebanyak lima peratus dari tahun ke tahun. Pertumbuhan ini didorong oleh subsektor perdagangan borong, yang bertambah sebanyak 6.3 peratus, diikuti dengan perdagangan runcit dengan kenaikan 4.9 peratus," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan