KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Malaysia komited untuk bekerjasama erat dengan Kenya bagi memastikan kestabilan bekalan minyak sawit serta integrasi pasaran yang lebih mendalam, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Belvinder Sron berkata kunjungan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke Kenya baru-baru ini, hanya menekankan lagi tumpuan strategik Malaysia untuk memperluaskan eksport minyak sawit lestari dan berkualiti tinggi ke rantau itu.
“Kunjungan itu memberi isyarat jelas komitmen berterusan Malaysia bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Kenya.
“Kami berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama dengan rakan di serata rantau itu. Kenya bukan setakat pasaran, tetapi menjadi pintu masuk ke rantai Afrika Timur yang luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Belvinder berkata Kenya juga menawarkan peluang jangka panjang yang besar bagi minyak sawit Malaysia susulan peningkatan permintaan terhadap minyak makan, asas pembuatan yang dinamik serta penambahbaikan infrastruktur logistik.
Sejak lima tahun lepas, eksport minyak sawit Malaysia ke Kenya telah meningkat lebih dua kali -- daripada 520,758 tan pada 2020 kepada 1.26 juta tan pada 2024,sekali gus menunjukkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal dipercayai untuk minyak sawit berkualiti tinggi dan lestari.
Dalam kunjungan itu, Johari turut menyertai beberapa siri perbincangan strategik dengan pegawai kanan kerajaan serta pihak berkepentingan Kenya.
Beliau turut mempengerusikan perbincangan meja bulat dengan penggiat utama minyak dan lelemak Kenya, menumpukan usaha peluang perdagangan, menangani akses cabaran pasaran serta mengukuhkan peranan negara Afrika itu sebagai hab pengedaran utama di rantau berkenaan.
“Sejak bertahun lamanya, MPOC telah meningkatkan kedudukan di Afrika menerusi misi dagangan, program promosi dan sesi jaringan pembeli-penjual, menghubungkan pihak berkepentingan Malaysia dan pelbagai negara Afrika.
"Ini sebahagian daripada strategi meluas MPOC untuk mempelbagaikan eksport minyak sawit Malaysia di luar pasaran tradisional yang menyaksikan Afrika dikenal pasti sebagai fokus utama berikutan permintaan dan potensi ekonominya yang kian ketara," kata Belvinder.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial