EKONOMI > BERITA

LANGKAH AS BATAL SEKATAN TERHADAP EKSPORT CIP BUKA PELUANG SEKTOR AI, PUSAT DATA DI MALAYSIA

09/05/2025 03:13 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk membatalkan peraturan eksport cip kecerdasan buatan (AI) era Biden, membuka peluang kepada Malaysia untuk mengembangkan industri cip AI dan memacu sektor pusat datanya.

Ia juga boleh memperkukuh pengkhususan negara dalam perkhidmatan dan pembuatan berteknologi tinggi, sejajar dengan strategi nasional untuk memajukan industri semikonduktor dalam rantaian nilai.

“Ia berpotensi meningkatkan pelaburan terus asing (FDI) dan pertumbuhan dipacu eksport untuk Malaysia,” kata Ketua Penyelidikan Pelaburan Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan kepada Bernama ketika mengulas laporan tindakan AS untuk membatalkan sekatan terhadap eksport cip.

Katanya, ia boleh mengukuhkan akses Malaysia kepada cip AI berteknologi tinggi seperti siri H100 dan H200 Nvidia, yang penting bagi latihan model bahasa besar (LLM) dan menjana infrastruktur data generasi akan datang.

“Kelonggaran ini boleh memberi manfaat besar kepada ekosistem pusat data Malaysia yang semakin berkembang, yang menerima FDI daripada gergasi teknologi global seperti Amazon Web Services, Microsoft dan Google sejak 2023, yang juga syarikat dari AS,” katanya.

Mohd Sedek berkata keupayaan Malaysia untuk menarik modal berpunca daripada kelebihan perbandingannya dalam keupayaan pengehosan data seperti menawarkan kos elektrik yang lebih rendah, kestabilan politik dan kedudukan strategiknya di tengah-tengah ASEAN.

Selain itu, peningkatan akses kepada cip membolehkan Malaysia meningkatkan pengkhususannya dalam perkhidmatan dan pembuatan berteknologi tinggi serta mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai di peringkat global.

“Malah, perubahan dasar ini boleh memudahkan transfromasi yang lebih meluas dalam ekosistem semikonduktor di Malaysia.

“Di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), kerajaan telah menyatakan hasratnya supaya sektor itu meningkatkan rantaian nilai ke arah margin yang lebih tinggi, aktiviti barisan hadapan seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan fabrikasi wafer,” katanya.

Syarikat seperti Intel dan Infineon juga sudah menyatakan kesediaan untuk melabur masing-masing sebanyak US$7 bilion dan RM8 bilion bagi operasi mereka di Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang dan Kulim di Kedah.

Justeru, perubahan dasar Trump boleh mempercepatkan peralihan ini dengan menghapuskan kekangan teknologi, membolehkan firma dan institusi di Malaysia berinteraksi secara langsung dengan set cip termaju.

“Akses kepada teknologi terkini boleh membantu Malaysia melangkah ke segmen lebih inovatif dalam rantaian nilai cip, meningkatkan keseluruhan faktor produktiviti dan eksport yang rumit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa beban pematuhan yang meningkat mungkin timbul susulan tumpuan Washington untuk membendung kebocoran teknologi ke China. 

“Malaysia pernah ditandakan dalam kalangan pembuat dasar AS sebagai berpotensi sebagai hab pemunggahan bagi teknologi dwi-guna, dan pentadbiran Trump berkemungkinan akan meningkatkan perhatian mereka terhadap perkara tersebut.

“Walaupun rejim pelesenan secara rasmi telah menarik balik sekatan kuantitatif, ia mungkin pada masa sama mengenakan peraturan kualitatif seperti pensijilan pengguna akhir, pemantauan eksport masa nyata dan penguatkuasaan yang lebih ketat di bawah Akta Perdagangan Strategik Malaysia (STA) 2010,” katanya.

Mohd Sedek berkata semua keperluan ini boleh meningkatkan kos operasi, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor semikonduktor, sekali gus mengurangkan keuntungan dan daya saing di peringkat global.

Menurut laporan berita, pentadbiran Trump merancang untuk membatalkan sekatan cip AI era Biden sebagai sebahagian daripada langkah menyeluruh untuk menyemak semula sekatan perdagangan semikonduktor yang mendapat tentangan hebat daripada syarikat teknologi terkemuka dan kerajaan asing.

Namun, pembatalan itu yang masih belum dimuktamadkan, bertujuan merangka semula dasar di bawah Presiden Joe Biden yang mewujudkan tiga tahap komprehensif bagi negara itu mengawal selia eksport cip daripada Nvidia dan syarikat lain.

Pentadbiran Trump dilaporkan tidak akan menguatkuasakan peraturan penyebaran AI apabila ia dikuatkuasakan pada 15 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan