EKONOMI > BERITA

EXIM BANK, MARRYBROWN METERAI MOU BAGI MEMACU PENGEMBANGAN RANGKAIAN KE AUSTRALIA

08/05/2025 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Marrybrown Sdn Bhd untuk menjadi penyokong utama dalam pengembangan rangkaian makanan segera halal Malaysia ke Australia.

Selain itu, MoU berkenaan juga menyediakan pembiayaan mata wang asing yang penting untuk menyokong kemasukan Marrybrown ke pasaran negara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, EXIM Bank berkata pembiayaannya telah membolehkan lima cawangan Marrybrown baharu dilancarkan di Melbourne, Australia, dengan potensi untuk menyokong sehingga 10 cawangan, mengukuhkan kehadirannya di rantau berkenaan.

"Sokongan daripada EXIM Bank mengukuhkan lagi reputasi Malaysia sebagai hab francais antarabangsa yang berkembang maju dan menyokong kejayaan lebih meluas untuk jenama-jenama Malaysia di peringkat antarabangsa," kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Nurbayu Kasim Chang berkata MoU itu mewakili komitmen bank untuk menyokong pengembangan jenama tempatan Malaysia ke pasaran antarabangsa.

"Melalui penyelesaian kewangan strategik ini, kami memperkasakan pengembangan Marrybrown di Australia, mendorong pertumbuhan perniagaannya dan mengukuhkan kehadiran Malaysia dalam pasaran global," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Marrybrown Datuk Joshua Liew berkata penyelesaian kewangan EXIM Bank akan mempercepatkan lagi pelan pertumbuhan antarabangsa syarikat dengan ketara, terutamanya di pasaran seperti Australia yang mempunyai potensi yang sangat besar.

"Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan jejak global Marrybrown tetapi juga memperlihatkan bagaimana jenama Malaysia boleh bersaing dengan jayanya di persada dunia, sambil mencipta peluang untuk usahawan tempatan melalui sistem francais kami," katanya.

Sektor makanan dan minuman semakin berkembang dan dengan cepat menjadi penting sebagai bidang tumpuan utama. Menyedari kepentingan itu, EXIM Bank telah meningkatkan sokongannya dengan ketara melalui pembiayaan eksport untuk sektor berkenaan yang melonjak lebih 800 peratus dari 2023 hingga 2024.

Bank itu berkata lonjakan berkenaan merupakan sebahagian daripada RM3.1 bilion dalam takaful kredit dan pembiayaan perniagaan untuk 2024, mendorong pengembangan industri dan mengukuhkan jejak Malaysia dalam pasaran global.

Ini sejajar dengan objektif MoU itu, yang mencerminkan visi bersama untuk memajukan industri francais Malaysia, sektor yang dijangka mencapai nilai RM46 bilion menjelang 2025.

Ia bukan sekadar menyokong pengembangan antarabangsa Marrybrown, tetapi EXIM Bank sedang meletakkan asas untuk francaisor Malaysia yang lain bagi berkembang secara global.

Melalui penyelesaian kewangan yang disesuaikan dan sokongan strategik, bank itu menggalakkan dan memperkasakan jenama tempatan untuk memasuki pasaran baharu, mengukuhkan kehadiran global mereka dan bersaing di peringkat antarabangsa, mengangkat syarikat Malaysia menjadi pemain yang diiktiraf di persada dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan