EKONOMI > BERITA

PROTON BAKAL LANCAR EV KEDUA E.MAS 5 PADA SUKU KEEMPAT 2025

08/05/2025 08:13 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

SERDANG, 8 Mei (Bernama) -- Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net), anak syarikat milik penuh Proton Holdings Bhd, bakal melancarkan model kenderaan elektrik (EV) terbarunya, e.MAS 5 pada suku keempat 2025.

Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net Salawati Mohd Yusoff berkata EV terkini itu berbeza daripada model pertama mereka iaitu e.MAS 7, dari segi segmen kerana EV sebelumnya adalah kenderaan utiliti sukan kompak (C-SUV), manakala e.MAS 5 dikategorikan sebagai hatchback segmen B.

“Sehubungan itu, dari segi saiz, e.MAS 5 adalah jauh lebih kompak berbanding e.MAS 7... dan kami akan menawarkan lima pilihan warna yang berbeza untuk model ini.

“Dari segi harga, kami belum boleh mendedahkannya buat masa ini, tetapi secara amnya model-model e.MAS kami berharga melebihi RM100,000. Kami berharap untuk menetapkan harga EV terbaru ini dengan lebih baik dan mampu milik,” katanya kepada Bernama pada acara Malaysia Autoshow 2025 di sini hari ini.

Salawati berkata e.MAS 5 akan ditawarkan dalam dua varian — model Prime dengan jarak perjalanan sejauh 345 kilometer dan model Premium yang menawarkan jarak sehingga 410 kilometer.

Beliau berkata syarikat yakin EV terbaharu itu akan diterima baik di pasaran memandangkan sambutan yang menggalakkan terhadap model EV pertamanya.

Ini kerana rakyat Malaysia semakin menunjukkan minat dan keterbukaan untuk beralih kepada EV, katanya.

Setakat ini, sebanyak 2,700 unit e.MAS 7 telah terjual sejak pelancarannya pada Disember tahun lalu, katanya.

Malaysia Autoshow 2025 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya, menampilkan 200 pempamer dan lebih 500 kenderaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan