KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Gamuda Bhd menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Gamuda DC Infrastructure Sdn Bhd (DCI), telah memeterai dua kontrak membabitkan penjualan tanah seluas 157.42 hektar pada harga RM455.23 juta dan melaksanakan kerja-kerja bernilai RM1.01 bilion dengan Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda berkata pusat data itu terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan.
DCI akan melaksanakan kerja-kerja di atas tanah berkenaan bagi pembangunan pusat data Pearl Computing, termasuk kerja-kerja tanah serta infrastruktur luaran.
“Kerja-kerja infrastruktur luaran itu merangkumi (kemudahan) loji rawatan air baharu dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 65 juta liter sehari, saluran paip menghubungkan loji rawatan air ke takungan perkhidmatan pembangunan pusat data dan penyimpanan di luar sungai untuk memastikan air mencukupi ketika musim rendah serta mengurangkan sebarang pencemaran," katanya.
Menurut Gamuda, kerja-kerja tanah itu dijangka siap pada suku ketiga 2025, diikuti oleh loji rawatan air pada suku kedua 2027 manakala simpanan di luar sungai pada suku keempat 2028.
Perjanjian itu, katanya, juga seiring dengan penyelesaian sehenti syarikat bagi sektor pusat data yang berkembang pesat.
Di bawah kaedah itu, katanya, Gamuda berperanan dalam pembangunan tanah secara menyeluruh, termasuk kerja-kerja awam, sambungan utiliti dan infrastruktur air untuk platform sedia dibina untuk pelanggan berskala besar.
“Model ini memanfaatkan kepakaran kejuruteraan teras syarikat dan sistem bangunan perindustrian generasi akan datang bagi mempercepatkan penyampaian struktur dengan pembuatan luar tapak yang tepat.
“Pendekatan menyeluruh ini mengurangkan risiko pembangunan peringkat awal, memendekkan tempoh, menjamin kualiti dan kos yang menjadikan syarikat sebagai rakan infrastruktur strategik dalam ekonomi digital,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial