AM > BERITA

Selangor Kenal Pasti 17 Projek Kadar Segera Atasi Banjir Di Klang - Exco

05/05/2025 08:27 PM

KLANG, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan Selangor mengenal pasti 17 projek yang perlu dilaksanakan dalam kadar segera di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam usaha mengatasi masalah banjir.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata projek berkenaan akan dilaksanakan di 13 kawasan berisiko banjir yang telah dikenal pasti antaranya di Meru dan Pandamaran.

Beliau berkata projek yang akan dilaksanakan meliputi kerja-kerja pelebaran longkang, pemasangan paip pembetung bagi laluan air serta menaik taraf jambatan di samping melibatkan kawasan kampung serta pembangunan skala kecil yang tidak terancang.

“Ada antara projek ini akan dimulakan seawal minggu ini dan dijangka siap menjelang Oktober dengan anggaran lebih RM3 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 17 projek kadar segera ini.

“Pelaksanaan 17 projek ini akan dibawa dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam tempoh dua minggu dari sekarang berikutan ada beberapa projek melibatkan pelaksanaan dasar kerajaan negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Membincangkan Kemajuan Infrastruktur bagi kawasan seliaan MBDK di Ibu Pejabat MBDK di sini hari ini.

Izham berkata kesemua projek itu akan diselaras Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dengan kerjasama beberapa agensi lain antaranya MBDK dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata projek-projek berkenaan merupakan usaha kerajaan negeri mengurangkan banjir khususnya banjir kilat yang kerap berlaku sementara menunggu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan Klang siap sepenuhnya.

Selain projek langkah segera, sebanyak 15 projek mitigasi banjir berbentuk jangka masa sederhana dan panjang melibatkan Kerajaan Persekutuan turut dilaksana dengan dana hampir RM45 juta, katanya.

Sementara itu Izham berkata JPS juga mengenal pasti lebih 300 kolam tadahan tidak bertuan dan menjadi antara faktor berlakunya banjir susulan tidak diselenggara dengan betul.

Izham berkata berikutan itu JPS dalam proses mengambil alih kolam-kolam berkenaan secara berperingkat dan ketika ini, kira-kira 55 kolam telah diambil alih.  

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan