EKONOMI > BERITA

TNB MAMPU TINGKAT KEUPAYAAN BIDANG TENAGA DI LUAR NEGARA - FADILLAH

27/04/2025 09:50 AM

Daripada Salawaty Supardi

NEWCASTLE, 27 April (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) mampu mengembangkan dan terus meningkatkan keupayaannya dalam bidang tenaga di luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pelaburan TNB dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) di sini menunjukkan kemampuan syarikat Malaysia untuk melabur dan mengembangkan sayap di peringkat antarabangsa.

Katanya pelaburan itu dibuat menerusi syarikat milik penuh TNB, Vantage RE Ltd (Vantage RE). 

“Syabas dan tahniah kepada TNB kerana telah meneroka dan mengembangkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa khususnya di United Kingdom (UK). UK ini luas termasuklah di Ireland, Scotland dan sebagainya. 

“Ini menunjukkan kemampuan syarikat Malaysia yang akhirnya memberi pulangan bukan sahaja kepada TNB malah kepada negara dari segi pelaburan luar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Blyth Offshore Windfarm di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pegawai Tenaga Baharu TNB Mohd Zarihi Mohd Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd Datuk Sharbini Suhaili.

Fadillah berharap lebih banyak syarikat terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melihat potensi pelaburan di luar negara.

Ladang angin luar pesisir berkapasiti 41.5 megawatt (MW) dan mula beroperasi pada 2017 itu terletak kira-kira 6.5 kilometer dari pesisir pantai. Vantage RE memiliki 49 peratus pegangan saham BODL yang merupakan pemilik ladang tersebut.

Vantage RE mengendalikan dan membangunkan portfolio aset tenaga boleh baharu (TBB) TNB sebanyak 1.3 gigawatt (GW) di UK dan Ireland. Pengurusan dan pembangunan aset TBB ini melibatkan kepakaran TNB bersama-sama kemahiran tempatan di UK.

Baru-baru ini, Vantage RE juga telah membina 100 MW ladang solar di UK yang akan dilengkapi dengan sistem penyimpanan bateri tenaga (BESS) pada masa depan. Dengan kemahiran yang diperoleh, TNB akan dapat menerajui dan menjadi pemangkin industri RE di Malaysia.

Mengenai penyertaan negara dalam Sidang Kemuncak mengenai Keselamatan Tenaga selama dua hari di Lancaster House yang berakhir pada Jumaat, Fadillah berkata ia peluang terbaik untuk Malaysia mempelajari teknologi terkini mengenai tenaga baharu.

“Ini peluang terbaik untuk negara bukan sahaja untuk belajar malah, pada masa yang sama mengembangkan dan berkongsi pengalaman dengan negara lain. Inilah peluang untuk syarikat kita mengembangkan sayap mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sidang kemuncak tersebut memberi peluang kepada Malaysia untuk menyuarakan komitmen terhadap penjagaan alam sekitar, mengembangkan jalinan dari segi teknologi dan kepakaran.

Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan UK serta menghimpunkan pembuat keputusan global bagi merangka dan membentuk tindakan ke arah masa depan keselamatan tenaga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan