ISTANBUL, 27 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu menegaskan bahawa kapal-kapal AS sepatutnya dibenarkan melalui Terusan Panama dan Suez tanpa dikenakan sebarang bayaran, dengan mendakwa kedua-dua laluan strategik itu wujud hasil usaha AS.
“Semua kapal Amerika, sama ada tentera atau komersial mesti dibenarkan melalui Terusan Panama dan Terusan Suez secara percuma,” tulis Trump di platform Truth Social, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Tanpa Amerika Syarikat, terusan-terusan itu tidak akan wujud,” katanya sambil mengarahkan Setiausaha Negara, Marco Rubio untuk “segera menguruskan dan mendokumentasikan perkara ini.”
Penasihat Keselamatan Negara, Michael Waltz turut menyokong pendirian Trump mengenai Terusan Panama, dengan menyatakan bahawa AS tidak sepatutnya membayar untuk menggunakan terusan yang dibinanya sendiri.
Terusan Panama menghubungkan Lautan Atlantik dan Pasifik melalui Panama, manakala Terusan Suez di Mesir menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah, menyediakan laluan maritim terpendek antara Eropah dan lautan India serta Pasifik Barat.
Kedua-dua terusan itu mengenakan yuran transit yang tinggi, bergantung kepada saiz kapal dan jenis kargo, yang boleh mencecah ratusan ribu dolar.
Pada Februari lalu, Panama menarik diri daripada Inisiatif Jalur dan Laluan China selepas menerima tekanan dari Washington dan lawatan oleh Rubio.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial