EKONOMI > BERITA

SOUTHERN STEEL JUAL 55 PERATUS PEGANGAN DALAM SSM PADA HARGA RM61.05 JUTA

22/04/2025 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) --  Southern Steel Bhd (SSB) bersetuju untuk menjual 55 peratus kepentingannya dalam anak syarikat milik penuhnya, Southern Steel Mesh Sdn Bhd (SSM) kepada syarikat berpangkalan di Singapura, BRC Asia Ltd, dengan harga tunai RM61.05 juta.

SSB merupakan syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam pembuatan, penjualan dan perdagangan besi tetulang, rod dawai dan produk-produk berkaitan, manakala SSM menjalankan perniagaan jaring dawai keluli, dawai konkrit serta pemotongan dan pembengkokan batang besi.

SSB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perjanjian itu dibuat susulan perjanjian yang tidak mengikat yang ditandatangani pada 28 Februari, 2025, yang memasukkan dua tindakan korporat iaitu penjualan 12.88 juta saham sedia ada atau 55 peratus pegangan dalam SSM dan cadangan langganan saham baharu SSM oleh BRC.

Bagaimanapun, selepas perbincangan lanjut, SSB dan BRC memutuskan untuk meneruskan cadangan pelupusan berkenaan, manakala pelan langganan saham telah digugurkan.

Sehubungan itu, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, bagi pihak lembaga pengarah SSB mengumumkan syarikat itu pada hari ini telah memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat dengan BRC berhubung dengan cadangan pelupusan berkenaan.

Setelah selesai cadangan pelupusan itu, BRC akan memiliki 55 peratus pegangan dalam SSM, manakala SSB akan mengekalkan 45 peratus pegangan dalam SSM, menjadikan SSM sebagai syarikat bersekutu SSB, katanya.

SSB berkata pelupusan itu dijangka menjana RM61.05 juta yang akan digunakan untuk menyokong keperluan modal kerja syarikat.

"Hasil daripada pelupusan ini akan disalurkan terutamanya untuk membayar kepada pembekal/pemiutang syarikat, perbelanjaan pentadbiran am dan operasi harian seperti kos berkaitan kakitangan, utiliti, bayaran berkanun dan lain-lain kos operasi," katanya.

SSB berkata tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, cadangan pelupusan itu dijangka selesai pada separuh kedua 2025, dengan syarikat akan mengemukakan permohonan yang berkaitan kepada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dalam tempoh dua bulan.

UOB Kay Hian telah dilantik oleh syarikat sebagai penasihat utama bagi cadangan pelupusan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan