PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd melantik Huawei Malaysia dan ZTE Malaysia sebagai rakan teknologi bagi pelaksanaan rangkaian 5G generasi seterusnya syarikat tersebut.
Pengerusi U Mobile Tan Sri Vincent Tan berkata pemilihan kedua-dua syarikat itu dibuat melalui proses yang teliti dan telus bagi memastikan U Mobile mendapat penyedia teknologi terbaik dalam usaha mencapai liputan populasi sebanyak 80 peratus dalam tempoh 12 bulan pertama pelancaran rangkaian.
Ini sekali gus meletakkan asas kukuh untuk perkhidmatan 5G yang inovatif kepada pengguna dan perusahaan, katanya.
“Huawei akan menyelia penggunaan rangkaian 5G kami di Malaysia Barat, manakala ZTE akan menerajui di Malaysia Timur.
"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kedua-dua rakan kongsi ini sambil membawa Malaysia ke era 5G," katanya pada Sidang Akhbar Rangkaian Generasi Seterusnya U Mobile dan majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu di sini hari ini.
Tan berkata pengenalan model dwi rangkaian 5G oleh kerajaan telah memupuk penyertaan industri yang lebih luas, menggalakkan persaingan sihat, dan memacu inovasi, kualiti perkhidmatan dan kemampuan.
“Sebagai Pengerusi U Mobile, saya berbangga kerana kami dapat memainkan peranan penting dalam menyokong agenda digital negara.
“Daripada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) kepada Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital, U Mobile sentiasa menjadi rakan strategik yang komited, termasuk dalam merapatkan jurang digital melalui program penyediaan perkhidmatan sejagat,” katanya.
Menurut Tan, pelaburan agresif dan inovasi berterusan U Mobile telah menghasilkan penawaran yang kompetitif dan perkhidmatan yang dipertingkatkan.
“Setakat ini, kami telah melabur lebih RM8 bilion dalam infrastruktur rangkaian dan teknologi, dan kekal komited untuk terus melabur dalam membina rangkaian 5G bertaraf dunia.
“Kami juga bangga menjadi yang pertama di negara ini menawarkan data tanpa had, perayauan percuma dan pelan jalur lebar tetap 5G tanpa kontrak,” katanya.
Tan turut memaklumkan usaha perintis syarikat telah menerima sokongan daripada kerajaan MADANI untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua di Malaysia.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Setiausaha Parti Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, Li Lecheng; serta Tan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara U Mobile, Huawei Malaysia dan ZTE Malaysia sebagai rakan teknologi rangkaian 5G generasi baharu syarikat itu.
Perjanjian tersebut ditandatangani bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun, dan Pengarah Urusan ZTE Malaysia, Steven Ge.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi U Mobile Woon Ooi Yuen berkata rangkaian 5G generasi baharu yang dibangunkan berasaskan standard perusahaan (enterprise-grade) akan mempertingkatkan pengalaman keseluruhan pelanggan menerusi teknologi perkakasan dan perisian yang paling canggih dan sedia masa depan.
“Rangkaian 5G ini akan menampilkan keupayaan termaju, infrastruktur bersedia masa depan, struktur rangkaian yang cekap serta keselamatan dan ketahanan rangkaian yang kukuh.
“Ia akan memberi keutamaan kepada bidang tumpuan seperti hab pengangkutan, kemudahan perubatan dan sukan, bandar pintar serta pusat data. Pelaksanaan turut merangkumi liputan 5G dalam bangunan di semua kawasan,” katanya.
Beliau berkata pemilihan Huawei dan ZTE sebagai rakan teknologi dibuat berdasarkan rekod pencapaian teknologi global mereka serta visi bersama untuk pelaksanaan yang pantas dan cekap.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial