Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Malaysia masih mempunyai ruang untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tindakan Washington yang mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas barangan Malaysia, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata bank pusat itu juga masih menunggu perincian daripada AS mengenai tarif berkenaan.
Justeru, kesan tarif terhadap inflasi hanya boleh dikenal pasti setelah proses rundingan dan perincian tarif tersebut selesai.
"Masih ada ruang untuk rundingan dan juga tahap kita belum tahu lagi, bila dan bagaimana, daripada segi magnitud, bila ia (tarif) akan berkuat kuasa selain skop liputan dan produk yang akan terkesan daripada tarif berkenaan.
"Jadi kita perlu melihat kesan mendalam bagaimana (tarif) akan memberi kesan kepada inflasi negara kita. Pada masa ini kita kekal pada dua hingga 3.5 peratus," katanya kepada Bernama ketika menghadiri sesi lawatan persiapan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan pelaksanaan tarif tersebut terhadap jangkaan inflasi yang diunjurkan bank pusat.
Ketika ditanya sama ada industri semikonduktor yang dikecualikan daripada dikenakan tarif sebagai satu kelegaan kepada Malaysia, Abdul Rasheed bagaimanapun mengakuinya.
Presiden AS Donald Trump pada 3 April lepas mengumumkan negaranya akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial