EKONOMI > BERITA

SAS MAHU ADAPTASI STRATEGI PENGURUSAN RISIKO & PEMATUHAN RANTAU LAIN PACU SEKTOR PERBANKAN

15/04/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Firma analisis dan kecerdasan buatan (AI) global, SAS Institute Inc berhasrat untuk mengadaptasi strategi pengurusan risiko dan pematuhan yang berjaya dari pasaran serantau lain bagi merangsang pertumbuhan industri perbankan dan perkhidmatan kewangan di Malaysia.

Pengarah Urusan SAS bagi Malaysia, Indonesia dan Vietnam, Febrianto Siboro berkata syarikat itu komited untuk melokalkan keupayaan AI dan analisis data yang telah terbukti berkesan bagi memastikan institusi kewangan tempatan tidak perlu bermula dari kosong.

“Ini sebahagian daripada strategi kami dengan kebanyakan pakar dalam bidang masing-masing berada di lapangan untuk berkongsi pengalaman, termasuk kejayaan dan kegagalan yang pernah dilalui.

“Cara ini sekali gus memastikan pelanggan kami di Malaysia, khususnya dalam sektor perbankan, dapat memanfaatkan pendekatan ini dan melaksanakannya dengan berkesan,” katanya pada sesi taklimat media di sini hari ini.

Febrianto berkata meskipun rangka kerja kawal selia berbeza di setiap negara, keperluan teras terhadap data kekal hampir serupa, membolehkan pemindahan ilmu dan alat-alat dilaksanakan secara efektif.

Beliau menegaskan bahawa asas kepada strategi mitigasi risiko yang berkesan bergantung kepada keupayaan sesebuah organisasi dalam memproses dan memperoleh input bermakna daripada data, sesuatu yang memerlukan lebih daripada sekadar teknologi.

“Jika anda memiliki teknologi dan proses, tetapi tiada tenaga manusia untuk mengendalikannya, ia akan menjadi satu masalah. Sebab itu kami memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan dalaman pelanggan,” katanya.

Febrianto berkata SAS kini bekerjasama dengan institusi kewangan bagi mewujudkan platform ananlisis tunggal yang boleh digunakan untuk pelbagai tjuan, termasuk menjana hasil, pelaporan kawal selia dan pembuatan keputusan operasi.

“Kami benar-benar mahu memperkenalkan satu platform tunggal, dan pada masa sama membantu pelanggan, termasuk di peringkat lembaga pengarah, untuk memahami bahawa pematuhan kawal selia bukan hanya sekadar memenuhi keperluan, tetapi juga menggunakan data daripada laporan tersebut untuk membuat keputusan yang lebih berinformasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan