KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bank Rakyat melantik Ahmad Shahril Mohd Shariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 9 April 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan itu adalah berdasarkan komitmen dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan beliau sepanjang menggalas tugas sebagai pemangku CEO sejak 9 Nov 2024.
"Ahmad Shahril yang mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri perbankan dan kewangan termasuk di Bank Negara Malaysia dan institusi perbankan tanah air merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan University of Salford, United Kingdom serta Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance.
“Kementerian amat yakin beliau mampu mengemudi serta menggalas segala tugas diamanahkan sebaik mungkin, khususnya untuk meningkatkan kesejahteraan anggota dan pihak berkepentingan, memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi di samping menyokong inisiatif inklusiviti kewangan selaras aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata lembaga pengarah, jawatankuasa pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat mengalu-alukan pelantikan Ahmad Shahril sebagai CEO.
“Kami positif dan optimistik bahawa Bank Rakyat di bawah kepemimpinan beliau akan mengekalkan mandatnya untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara dan sosioekonomi masyarakat sebagai institusi kewangan pembangunan progresif dan berdaya saing, berteraskan nilai Islam serta kemampanan melalui pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial