EKONOMI > BERITA

MALAYSIA MUKTAMADKAN FTA DENGAN ICELAND, LIECHTENSTEIN, NORWAY DAN SWITZERLAND

11/04/2025 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Malaysia dan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) telah memuktamadkan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA), menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

EFTA kini dianggotai empat negara iaitu Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland.

Kalangan negara itu disatukan oleh komitmen untuk menggalakkan perdagangan bebas dan kerjasama ekonomi di Eropah dan global.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, MITI menjelaskan kedua-dua pihak menyasar untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (MEEPA) pada Jun 2025.

Skop MEEPA merangkumi bidang utama seperti perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, hak harta intelek, persaingan, pemerolehan kerajaan, kerjasama dan pembinaan kapasiti, perdagangan dan pembangunan mampan serta kastam dan pemudahan perdagangan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata memandangkan keadaan ketidaktentuan semasa yang timbul ekoran tarif Amerika Syarikat (AS), Malaysia menyambut baik kepastian yang ditawarkan oleh FTA seperti MEEPA.

“Kepastian sedemikian akan menyokong para pengeksport tempatan di samping mengukuhkan kerjasama ekonomi jangka masa panjang Malaysia dengan kalangan negara EFTA.

“Kita berharap dapat meningkatkan perdagangan dengan negara-negara ini, terutama dalam barangan dan perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya.

Menurut MITI, satu daripada manfaat utama yang diperoleh Malaysia di bawah MEEPA itu adalah mendapat layanan keutamaan kekal untuk akses pasaran pengeksport Malaysia.

Pada masa ini, Malaysia menikmati pengurangan tarif untuk eksport di bawah Sistem Keutamaan Umum (GSP) Negara EFTA, iaitu satu skim unilateral yang memberikan keutamaan tarif sementara.

Bagaimanapun, pengaturan itu tertakluk kepada penamatan apabila Malaysia keluar daripada status GSP.

“Menerusi MEEPA, ketidaktentuan ini dapat dihapuskan kerana Malaysia telah mencapai pemansuhan duti import yang kekal dalam pasaran EFTA,” jelas kementerian itu.

MITI memaklumkan satu lagi ciri utama adalah kemungkinan perkongsian dan pemindahan pengetahuan antara Malaysia dan negara anggota EFTA.

EFTA terkenal dengan kepakaran penyelidikan dan pembangunan serta inovasi dalam bidang utama seperti tenaga boleh baharu, sains, teknologi dan industri berkejituan tinggi.

“Melalui MEEPA, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan kelebihan negara anggota EFTA melalui Bab Kerjasama dan Pembinaan Kapasiti, yang memudahkan kerjasama berasaskan projek melalui memorandum persefahaman.

“Perkongsian ini komited untuk memacu pertumbuhan ketara dan mewujudkan peluang yang memberi kesan manfaat kepada pembangunan Malaysia,” jelas MITI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan