EKONOMI > BERITA

MALAYSIA CADANG PERLINDUNGAN TEKNOLOGI KEPADA AS, JAMINAN RANTAIAN BEKALAN - TENGKU ZAFRUL

11/04/2025 12:42 PM

KUALA LUMPUR  11 April (Bernama) -- Malaysia terlibat secara proaktif dengan pihak berkuasa dan syarikat Amerika Syarikat (AS), termasuk mencadangkan perjanjian perlindungan teknologi bagi meyakinkan pihak berkepentingan serta memastikan kestabilan rantaian bekalan terus terjamin.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kesediaan Malaysia untuk meneliti satu perjanjian perlindungan teknologi, akan turut memberi jaminan kepada kerajaan serta syarikat-syarikat AS.

“Satu perkara yang perlu anda ingat adalah syarikat yang ada di Malaysia dan mengeksport ke AS itu adalah syarikat AS sendiri.

“Sehubungan itu, kita sedang bekerjasama erat dengan syarikat-syarikat AS yang akan terjejas jika semikonduktor turut dimasukkan dalam senarai pelaksanaan tarif,” katanya dalam wawancara dengan stesen media CNBC.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata 30 peratus daripada eksport Malaysia ke AS adalah semikonduktor manakala 30 peratus lagi merangkumi produk elektrik dan elektronik (E&E).

Selain itu, ditanya sama ada persekitaran tarif global yang meluas boleh memberi kesan ke atas Pelan Induk Perindustrian Malaysia, Tengku Zafrul tidak menolak potensi berkenaaan.          “Kita sedang mengkaji kesannya kerana Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka. Seperti saya katakan, kita adalah pengeksport utama semikonduktor dan produk E&E dan oleh itu, berdasarkan penilaian kita, akan ada kesan negatif.

“Bukan sahaja akibat tarif di AS, tetapi juga tarif ke atas China berikutan banyak syarikat AS dan multinasional, termasuk firma Malaysia dalam rantaian bekalan, akan terjejas oleh kelembapan ekonomi global. Syarikat-syarikat ini bukan hanya mengeksport ke AS," katanya.

Menyentuh kebolehlaksanaan nyahgandingan teknologi AS-China, terutama dalam kecerdasan buatan dan pembuatan cip, Tengku Zafrul mengingatkan perpecahan sedemikian akan hanya menyumbang kepada kenaikan kos serta menjejaskan rantaian bekalan.

“Kita melihat perkara itu sudah pun berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, masalahnya ialah kos akan meningkat dan trend itu sudah berlaku.

“Susulan pelaksanaan tarif ke atas China dan seluruh dunia, saya fikir kosnya akan meningkat lagi dan ini boleh menjejaskan permintaan serta bekalan," katanya

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan