Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang berakhir hari ini menyaksikan perkumpulan itu menyokong Penyampaian Ekonomi Utama (PED) Malaysia di tengah-tengah isu tarif AS yang menjejaskan negara anggota.
Namun, keadaan getir ini tidak melemahkan semangat negara anggota, sebaliknya mendorong mereka untuk mengukuhkan lagi komitmen memperdalam integrasi kewangan dan mengukuhkan lagi daya tahan ekonomi.
Sepanjang acara itu Malaysia berjaya menganjurkan lebih daripada 10 mesyuarat penting. AFMGM dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, yang berjaya menggalas tanggungjawab dengan cemerlang ketika negara anggota bergelut dengan tarif AS.
Hasil penting daripada mesyuarat itu ialah cadangan ASEAN untuk mewujudkan semula ASEAN Swap Arrangement (ASA) bagi mengukuhkan jaringan keselamatan dan daya tahan kewangan rantau ini.
Selain itu, menteri ASEAN+3 akan menggerakkan pelaksanaan Kemudahan Pembiayaan Pantas (RFF), yang bertujuan membantu negara anggota yang berdepan kekangan kewangan menangani kejutan atau masalah kewangan yang disebabkan oleh faktor luaran.
Perkumpulan itu juga bersetuju untuk mempertingkatkan Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM) -- mekanisme bantu diri untuk membantu negara yang menghadapi masalah kecairan -- dengan modal berbayar.
CMIM melibatkan 10 negara anggota ASEAN, serta China, Jepun, dan Korea Selatan, membentuk jaringan keselamatan kewangan serantau ASEAN+3.
Inisiatif itu ditubuhkan pada Mei 2000 sebagai Chiang Mai Initiative untuk bertindak balas terhadap Krisis Kewangan Asia 1997/98.
Kumpulan itu kemudiannya semakin berkembang dan menjadi CMIM pada 2010, dengan jumlah saiz pembiayaan meningkat kepada US$240 bilion (US$1=RM4.46) daripada US$120 bilion sebelum ini.
Mesyuarat ini mempunyai kepentingan khusus memandangkan Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah AFMGM pertama pada 21 Mac, 2015, menandakan langkah penting dalam memperkukuh integrasi kewangan dan kerjasama ASEAN -- elemen penting untuk menjadikan rantau ini lebih bersatu.
Pertemuan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini telah menghimpunkan kalangan Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN untuk berbincang mengenai isu ekonomi utama, mengkaji semula kemajuan kerjasama kewangan dan bank pusat serta mengesahkan komitmen bersama mereka untuk memupuk masa depan ekonomi yang berdaya tahan, inklusif dan mampan bagi Asia Tenggara.
Dalam pada itu, sukar untuk kalangan pegawai menafikan bahawa tarif AS menjadi tumpuan utama dalam AFMGM selama empat hari itu.
Susulan itu, AFMGM turut mengeluarkan kenyataan bersama dengan menggesa sebuah dialog yang jujur dan konstruktif diadakan dengan Washington ekoran tarif AS yang memberi kesan kepada pasaran global.
Mereka juga menegaskan ASEAN tidak akan mengambil tindakan balas terhadap tarif yang dikenakan oleh AS walaupun kalangan negara anggota Indo-Cina di ASEAN adalah antara yang paling terjejas berikutan tarif tersebut.
Terkini, Presiden AS Donald Trump mengumumkan penangguhan selama tiga bulan untuk tarif timbal balas bagi lebih 75 negara, kecuali China.
Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati berharap penangguhan itu akan memberi ruang kepada negara-negara yang terjejas untuk membincangkan levi import dengan AS.
Timbalan Menteri Kewangan Laos Soulivath Souvannachoumkham pula tidak menafikan kemungkinan bahawa walaupun ditangguhkan, tarif asas masih berdepan kesukaran dan mencabar kepada banyak negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, dalam usaha menetapkan tarikh Mesyuarat Khas Pemimpin untuk membincangkan hala tuju blok tersebut dalam menangani dan mengurangkan potensi gangguan terhadap perdagangan serantau disebabkan tarif yang dikenakan oleh AS.
Bermula 7 April, lebih 10 mesyuarat diadakan termasuk perbincangan peringkat tertinggi dengan Majlis Perniagaan ASEAN-AS, ASEAN-Kesatuan Eropah dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).
Mesyuarat dengan organisasi sektor swasta ini, yang memfokuskan kepada aspek kewangan, adalah penting untuk meningkatkan daya tarikan serantau Asia Tenggara sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.
AFMGM dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan turut menyaksikan sokongan terhadap Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) (2025-2028) yang berlangsung semasa Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN -- antara Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Malaysia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) selaku pentadbir AIF.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial