EKONOMI > BERITA

LUMIC DIJANGKA TARIK PELABURAN RM72 BILION, WUJUDKAN 50,000 PEKERJAAN MENJELANG 2050

10/04/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Perak dijangka menarik pelaburan sebanyak RM72 bilion dan mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 25 tahun akan datang, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata projek itu yang sedang dibangunkan di tapak seluas 9,307 hektar di Segari, akan menjadi penyumbang utama kepada agenda transformasi ekonomi Perak dan dijangka bermula pada 2026, dengan fasa pertama disasarkan bermula pada 2030.

"Inisiatif LuMIC selaras dengan aspirasi pelan Perak Sejahtera 2030 melalui Flagship 13: Hab Maritim dan Pelabuhan Nusantara yang bertujuan menjadikan Perak sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, mampan, dan strategik di rantau ini," katanya ketika berucap di majlis pembentangan rasmi kajian kebolehlaksanaan LuMIC di sini hari ini.

Kajian kebolehlaksanaan itu mendapat sokongan geran sebanyak RM9.5 juta daripada Kesatuan Eropah (EU) melalui strategi Global Gateway dan dilaksanakan oleh Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) yang berpusat di Belgium dan disokong oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Kajian berkenaan turut mengenal pasti tujuh zon perindustrian utama yang memfokuskan kepada sektor-sektor berpotensi tinggi seperti tenaga hijau, kitar semula kapal, kejuruteraan marin dan pencetakan 3D maritim.

Saarani berkata projek itu akan dibangunkan secara berperingkat, sejajar dengan trend global seperti ekonomi hijau, ekonomi biru serta ekonomi digital dan akan merangkumi pelabuhan bertaraf antarabangsa, zon perindustrian mesra alam dan bandar pintar yang mampan.

"Malaysia khususnya Perak, memiliki potensi yang kukuh untuk menerajui ekonomi biru melalui sektor-sektor seperti perikanan, pelancongan maritim, tenaga boleh baharu dan bioteknologi marin, dengan Perak sahaja menyumbang 22.8 peratus kepada jumlah pengeluaran perikanan negara pada 2023," katanya.

Beliau juga berkata LuMIC berupaya menangani cabaran global melalui pendekatan mampan seperti pengurangan karbon, penggunaan tenaga boleh baharu dan rantaian bekalan yang kukuh sambil menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan menempatkan Perak sebagai peneraju kelestarian maritim di ASEAN.

"Disokong oleh rakan kongsi antarabangsa seperti PoABI, EU dan pengawal selia tempatan, LuMIC dilaksanakan berdasarkan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus dengan matlamat untuk tidak hanya menarik pelaburan global dan pemain logistik, tetapi juga merangsang pertumbuhan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang inovatif serta menjana limpahan ekonomi yang meluas di seluruh negeri," katanya.

Beliau menambah kerajaan negeri Perak komited kepada projek-projek infrastruktur dan strategik yang memberi manfaat kepada rakyat, dengan LuMIC termasuk dalam inisiatif utama yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), Projek Pemindahan Air Mentah dari Sungai Perak, Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) dan Taman Teknologi Lembah Perak (SVTP).

"Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, projek-projek berimpak tinggi ini akan mula menunjukkan kemajuan fizikal yang ketara, mengukuhkan kedudukan Perak sebagai salah satu negeri yang terkemuka dalam pembangunan ekonomi," kata Saarani.

Beliau seterusnya berkata dengan lulusnya lebuh raya West Ipoh Span Expressway yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar, kerajaan negeri Perak mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu yang menghubungkan Tanjong Malim ke Lumut untuk meningkatkan ketersambungan logistik antara AHTV dan LuMIC.

"Rangkaian lebuh raya ini akan memudahkan pergerakan industri dan pengangkutan barangan sambil mempercepatkan integrasi rantaian bekalan antara wilayah tengah dan barat negeri Perak," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan