EKONOMI > BERITA

US-ABC DIGESA BERITAHU WASHINGTON TARIF BOLEH BAHAYAKAN OPERASI PERNIAGAAN AS DI ASEAN

09/04/2025 07:11 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- ASEAN menerima sokongan luar biasa daripada Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC) untuk menyampaikan mesej penting kepada Washington.

Mesej penting itu adalah tarif yang dikenakan AS boleh menjejaskan perniagaan AS di Asia Tenggara dengan teruk malah akibat yang tidak dapat dielakkan juga akan membahayakan perdagangan dan pelaburan AS di rantau ini.

Ketika bercakap di hadapan kumpulan perniagaan dan pelabur AS di rantau ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ASEAN menggesa US-ABC untuk membantu dalam menangani isu tarif kerana perkara itu akan memberi impak kepada operasi perniagaan majlis tersebut di rantau ini.

“Mesej kita kepada US-ABC adalah ‘anda perlu membantu kami kerana anda ialah wakil kepada syarikat AS di ASEAN’ (dan) jika rejim baharu ini yang sebenarnya agak sukar, kita akan menghadapi cabaran dan itu akan memberi kesan kepada syarikat anda.

“Kita mahu (US-ABC) mewakili ASEAN dalam ‘perbincangan anda dengan kerajaan anda’ dan kita mahu membantu perniagaan berkembang maju di ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan bersama beberapa mesyuarat dengan majlis perniagaan di sini, hari ini.

Semua negara anggota ASEAN terkesan ekoran tarif itu, dengan negara Indo-China ASEAN seperti Kemboja, Laos dan Vietnam paling teruk terkesan dengan levi import masing-masing sebanyak 49 peratus, 48 peratus dan 46 peratus.

Amir Hamzah dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mempengerusikan bersama tiga mesyuarat dengan majlis perniagaan meliputi US-ABC, Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN (EU-ABC) dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).

US-ABC dipimpin oleh Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantau Brian D. McFeeters dalam mesyuarat tersebut.

Mengulas mengenai hasil mesyuarat, Amir Hamzah berkata majlis perniagaan menyuarakan semula keyakinan terhadap ASEAN berasaskan daya tahan ekonomi blok ini yang kukuh dan usaha meningkatkan perdagangan dalam rantau ini.

“Perkara positif yang kita lihat hari ini adalah keyakinan baharu bahawa ASEAN masih merupakan antara rantau yang berkembang dengan lebih baik dan mempunyai potensi untuk meningkatkan perdagangan antara rantau.

“Semua negara anggota ASEAN menggalakkan usaha untuk meningkatkan perdagangan antara rantau dan memperkukuh inisiatif Malaysia mengikut landasan kewangan,” katanya.

Bagi mesyuarat EU-ABC, Amir Hamzah berkata ASEAN meminta sokongan daripada majlis itu untuk mendorong perubahan yang mampan sejajar dengan usaha rantau ini ke arah peralihan tenaga mampan masa depan.

“Peralihan tenaga terus menjadi keutamaan dan kita akan mendapat sokongan khususnya dari EU untuk membantu usaha ASEAN dalam menghadapi perubahan iklim.

“Ini akan merangkumi sokongan teknikal, mekanisme pembiayaan serta usaha sama daripada EU ketika kita meneruskan inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata sebagai respons, EU berminat untuk meningkatkan dan mempelbagaikan hubungan komersial melalui lebih banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA), kerjasama dan misi perdagangan.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat dengan US-ABC dan EU-ABC membuahkan hasil positif dengan dialog dan sokongan yang baik daripada majlis perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan