EKONOMI > BERITA

FMM GESA KERAJAAN BERTINDAK LINDUNGI SEKTOR PEMBUATAN BERIKUTAN PENANGGUHAN TARIF AS

10/04/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah tegas sepanjang penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari oleh Amerika Syarikat (AS) untuk melindungi asas-asas industri dan daya saing jangka panjang Malaysia, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata persatuan itu mencadangkan agar kerajaan melaksanakan bantuan bersasar khusus untuk sektor-sektor tertentu seperti produk-produk getah, jentera perindustrian, komponen-komponen elektrik dan elektronik bukan semikonduktor, perabot, cat, peranti perubatan, pakaian dan sektor perkhidmatan pembuatan elektronik.

"Industri-industri ini penting untuk ekosistem pembuatan Malaysia dan daya tahan rantaian bekalan AS.

"Kami juga menggesa kerajaan untuk menekankan pendirian Malaysia terhadap perdagangan terbuka, termasuk tarif rendah bagi negara paling digemari (MFN) dan penggunaan terhad halangan bukan tarif untuk menyokong penilaian semula klasifikasi tarif Malaysia di bawah kerangka AS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soh turut mengulangi gesaan FMM agar kerajaan segera memberikan sokongan untuk memperkukuh sektor pembuatan dengan mengkaji semula dan menangguhkan pelaksanaan dasar-dasar yang boleh meningkatkan kos operasi pada tahun ini.

Dalam satu surat rasmi kepada Kementerian Kewangan bertarikh 8 April, 2025, FMM telah memohon penangguhan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Mei, 2025.

"Apabila ditambah dengan pelarasan tarif asas elektrik pada Julai 2025, langkah-langkah ini akan meningkatkan kos perniagaan dan harga barangan keperluan dengan ketara.

“Kami menyarankan agar kerajaan menjalankan penilaian impak yang komprehensif terhadap implikasi peluasan SST, terutama kesannya terhadap inflasi, kemampanan perniagaan dan kemampuan pengguna,” katanya.

Soh turut menekankan gesaan FMM agar Majlis Rantaian Bekalan Kebangsaan ditubuhkan segera bagi menyelaras tindakan yang merentas kementerian dan awam-swasta berkaitan daya tahan perdagangan, kesinambungan logistik dan keselamatan industri.

Beliau berkata majlis itu akan membantu mengenal pasti kelemahan dan menyelaraskan strategi pensijilan, infrastruktur dan tenaga kerja bagi menyokong pengilang dengan lebih baik semasa berlakunya gangguan.

Bagi peringkat serantau pula, Soh berkata persatuan itu memohon kerajaan menggunakan jawatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk mencadangkan penubuhan Majlis Penyelarasan Rantaian Bekalan ASEAN, yang akan meningkatkan kerjasama serantau dalam memudahkan perdagangan, pendigitalan, dan penyumberan selaras dengan Rangka Kerja ASEAN mengenai Kecekapan dan Ketahanan Rantaian Bekalan.

Beliau juga menekankan gesaan untuk berjaga-jaga dan mengambil langkah perlindungan secara proaktif bagi menangani risiko Malaysia menjadi destinasi bagi eksport yang dialihkan daripada pasaran yang dikenakan tarif AS yang tinggi, terutamanya daripada ekonomi yang menghadapi kadar tarif yang jauh lebih tinggi.

"Pengalihan perdagangan ini boleh mengakibatkan kemasukan barangan import yang berlebihan, meningkatkan persaingan, menekan harga dan menggugat kemampanan ke atas pengeluar tempatan," jelas Soh.

Bagi mengurangkan isu itu, Soh berkata kerajaan perlu meningkatkan pemantauan kastam dan mekanisme penguatkuasaan untuk mengesan dan mencegah pengisytiharan palsu terhadap asal-usul barangan dan penyalahgunaan dalam penghantaran.

"Pada masa yang sama, kami menggesa pemantauan rapi terhadap trend import dan penglibatan proaktif dengan industri terjejas untuk memastikan pasaran domestik kekal kompetitif dan dilindungi daripada amalan perdagangan yang tidak adil," katanya.

Soh berkata tempoh penangguhan selama 90 hari itu memberi masa kepada pengeluar Malaysia untuk menilai semula strategi dan berunding dengan pihak-pihak berkepentingan, tetapi penangguhan tarif sebanyak 24 peratus yang asalnya dijadualkan pada 9 April, 2025, tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian muktamad.

"Walaupun tempoh itu memberikan kelegaan jangka pendek dan sedikit ruang taktikal untuk perniagaan melaksanakan semula rundingan kontrak, pelarasan semula harga, kepelbagaian pembekal dan semakan laluan pengangkutan, namun tiada kejelasan berhubung keputusan akhir akan terus membebani keyakinan dalam perniagaan, terutamanya bagi sektor-sektor yang banyak terdedah kepada pasaran AS," tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan