EKONOMI > BERITA

ASEAN AKAN TERLIBAT DALAM DIALOG JUJUR, KONSTRUKTIF DENGAN AS BERKENAAN TARIF

10/04/2025 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- ASEAN akan mengadakan dialog yang jujur dan konstruktif dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menangani isu kebimbangan berkenaan perdagangan selepas Washington mengenakan tarif kepada 168 negara termasuk semua negara anggota blok Asia Tenggara.

Bagaimanapun pada 9 April, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif balas itu ditangguhkan selama tiga bulan, kecuali terhadap China.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) hari ini, para menteri mengumumkan ASEAN tidak akan mengenakan sebarang tindakan balas sebagai respons terhadap pengumuman tarif AS.

Tarif yang diumumkan pada 2 April, telah menjejaskan pasaran global, serta penangguhan terkini itu telah menimbulkan ketidakpastian yang ketara sehingga menyebabkan ketidaktentuan yang amat besar.

Kalangan menteri ekonomi juga berkata levi import itu akan membawa cabaran besar kepada perniagaan khususnya terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta dinamik perdagangan global.

“Komunikasi terbuka dan kerjasama akan menjadi penting untuk memastikan hubungan yang seimbang dan mampan,” kata mereka dengan mengambil kira AS sebagai sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di ASEAN pada 2024 dan rakan dagang kedua terbesar blok ini.

-- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- ASEAN akan terlibat dalam dialog yang jujur dan konstruktif dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menangani isu kebimbangan berkenaan perdagangan selepas Washington mengenakan tarif kepada 168 negara termasuk semua negara anggota blok Asia Tenggara.

Bagaimanapun pada 9 April, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif balas itu ditangguhkan selama tiga bulan, kecuali terhadap China.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) hari ini, para menteri mengumumkan ASEAN tidak akan mengenakan sebarang tindakan balas sebagai respons terhadap pengumuman tarif AS.

Tarif yang diumumkan pada 2 April telah menjejaskan pasaran global manakala penangguhan terkini itu pula menimbulkan ketidakpastian yang ketara sehingga menyebabkan ketidaktentuan yang amat besar.

Kalangan menteri ekonomi juga berkata levi import itu akan membawa cabaran besar kepada perniagaan khususnya terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta dinamik perdagangan global.

“Komunikasi terbuka dan kerjasama akan menjadi penting untuk memastikan hubungan yang seimbang dan mampan,” kata mereka dengan mengambil kira AS sebagai sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di ASEAN pada 2024 dan rakan dagang kedua terbesar blok ini.

Sebagai Rakan Strategik Komprehensif (CSP) ASEAN selama lebih empat dekad, AS telah melakukan peranan penting dalam merangsang reka bentuk serantau yang berpusatkan ASEAN, kata AEM.

Para menteri berkata ini memupuk keamanan, kestabilan, pertumbuhan ekonomi, pelaburan, dan perdagangan di rantau ini yang telah memberi manfaat kepada AS dan rantau ini, yang merupakan ekonomi kelima terbesar dunia.

“Kami menganggap AS sebagai rakan ekonomi ASEAN yang begitu lama dan berharga,” kata mereka.

Mereka berkata tarif akan mengganggu aliran perdagangan dan pelaburan serantau serta global begitu juga rantaian bekalan, sekali gus menjejaskan perniagaan dan pengguna di seluruh dunia termasuk AS.

Tindakan tarif juga akan memberi kesan kepada keterjaminan dan kestabilan ekonomi, menjejaskan mata pencarian berjuta-juta orang di rantau ini, serta mengekang kemajuan ekonomi di ASEAN terutamanya ekonomi kurang membangun, selain hubungan ekonomi dan perdagangan ASEAN-AS yang sekian lama terjalin.

Para menteri berkata ASEAN kekal komited untuk melindungi kepentingan ekonomi blok ini serta mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh dan saling menguntungkan dengan AS.

Menteri berkata mereka bersedia bekerjasama dengan AS mengikut Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA) dan Pelan Kerja Kerjasama Ekonomi Diperluas (E3), untuk meneroka penyelesaian yang boleh diterima bersama mengenai isu kepentingan bersama.

Perkara itu termasuk memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala, memperkukuh perkongsian perdagangan strategik, dan meningkatkan kesalinghubungan dan daya tahan rantaian bekalan melalui teknologi digital dan inovasi yang boleh menggalakkan kerjasama serantau yang lebih utuh.

“ASEAN yakin kerangka kerjasama ekonomi ASEAN-AS yang ditambah baik, teguh dan mempunyai ciri pandangan jauh akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat kita dan ekonomi global yang lebih luas," kata mereka.

Rangka kerja sedemikian akan mengukuhkan keterlibatan yang membina, memupuk rantaian bekalan serantau dan memacu inisiatif inovatif untuk memastikan hubungan ekonomi yang berdaya tahan, terjamin, stabil dan saling menguntungkan.

Semangat kerjasama ini khususnya akan memberi manfaat kepada sektor bernilai tinggi termasuk perkhidmatan digital dan industri berasaskan pengetahuan, makanan, pertanian dan perhutanan, teknologi hijau dan tenaga boleh baharu, pembuatan dan elektronik termaju, pakaian dan kasut, barangan perjalanan, penjagaan kesihatan dan bioteknologi serta produk dan peralatan pengangkutan.

Selain ketidaktentuan akibat tarif, AEM berkata mereka menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang boleh dijangka, telus, bebas, adil, inklusif, mampan dan berasaskan peraturan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang melaksanakan peranan penting dalam memupuk pertumbuhan ekonomi global.

ASEAN menyokong kenyataan baru-baru ini oleh Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonjo-Iweala yang menekankan bahawa tarif AS akan mempunyai kesan besar terhadap prospek perdagangan dan pertumbuhan ekonomi global terutamanya ke atas negara yang kurang maju (LDC).

AEM berkata ASEAN menggalakkan WTO berperanan sebagai forum untuk dialog yang bertujuan mencegah konflik perdagangan yang semakin buruk dan untuk menggunakan WTO bagi libat urus yang membina seterusnya mencari penyelesaian kerjasama.

Para menteri juga berkata ASEAN akan kekal teguh dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau, memanfaatkan peluang dalam keadaan cabaran global dan mengekalkan persekitaran ekonomi serantau yang boleh dijangka, telus, tanpa diskriminasi, adil, inklusif dan terbuka yang menyokong pertumbuhan perdagangan dan pembangunan serantau.

“Kami juga akan mengukuhkan dan mengembangkan hubungan ekonomi kami dengan rakan luar ASEAN, termasuk Rakan Dialog kami, dan mencari peluang untuk kerjasama ekonomi dengan rakan baharu,” kata mereka.

Dalam konteks ini, sebagai satu kumpulan, AEM akan terus membincangkan cara untuk mengukuhkan dan meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, kata mereka.

“Oleh itu, ini akan menghantar isyarat yang kuat mengenai komitmen dan tekad kami untuk memajukan integrasi ekonomi serantau,” kata para menteri.

Sebagai respons kepada kesan ekonomi yang mungkin timbul, AEM akan terus bekerjasama dengan lebih rapat berasaskan perpaduan dan setiakawan yang lebih erat serta kekal komited terhadap perdagangan berasaskan peraturan ASEAN.

“Usaha kolektif ini akan membolehkan ASEAN menghadapi dan mengatasi krisis perdagangan global, meminimumkan kesannya kepada rakyat kita, dan terus berkembang secara mampan,” kata AEM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan