EKONOMI > BERITA

PETRONAS, PETROVIETNAM METERAI 20 TAHUN PSC, LANJUTAN UGSA UNTUK PM3 CAA

10/04/2025 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) dan Vietnam Oil and Gas Group (Petrovietnam) memeterai perjanjian prinsip utama (KPA) untuk melanjutkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dan perjanjian jual beli gas huluan (UGSA).

Pelanjutan kontrak itu untuk kawasan pengaturan komersial PM3 (CAA) selama 20 tahun lagi.

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir Bacho Pilong berkata PM3 CAA dengan anggaran baki rizab sehingga 60 juta tong setara minyak (MMBoe) memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan tenaga jangka panjang di rantau ini.

"Perjanjian ini menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi daripada Petronas dan Petrovietnam untuk terus memperkukuh kerjasama jangka panjang mereka yang menjadi kunci kepada kemajuan PM3 iaitu daripada penerokaan dan pembangunan sehingga kepada proses mendapatkan perolehan sumber tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Meliputi lebih daripada 2,000 kilometer persegi (km²) ladang luar pesisir yang merentasi sempadan maritim Malaysia dan Vietnam, PM3 CAA merupakan contoh utama kerjasama rentas sempadan yang berterusan.

Ia sekali gus menegaskan hubungan dua hala yang kukuh selain komitmen bersama antara kedua-dua negara terhadap keterjaminan dan kebolehcapaian tenaga.

KPA menetapkan rangka kerja untuk lanjutan PSC dan UGSA sehingga 31 Dis, 2047 dengan memastikan kesinambungan pengeluaran di tujuh medan dan membuka potensi selanjutnya dalam PM3 CAA.

Kemudahan PSC PM3 CAA juga diletakkan sebagai hab strategik bagi menyokong ikatan daripada penemuan berdekatan, mengoptimumkan penggunaan aset serta memperkukuh keterjaminan tenaga di Malaysia dan Vietnam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan