HANOI, 15 April (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping pada Isnin menekankan kepentingan memastikan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Vietnam yang mampan dan terjamin.
Xi yang juga Setiausaha Agung Parti Komunis China berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara China dan Vietnam, serta Tahun Pertukaran Sosiobudaya China-Vietnam.
"Berada di titik permulaan baharu dalam sejarah, kedua-dua negara perlu mengekalkan persahabatan tradisional dan bertindak pantas memperksasakan kerjasama strategik secara komprehensif bagi memberi sumbangan yang lebih besar kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan," kata Xi.
"Baik China mahupun Vietnam pernah mendapat manfaat daripada globalisasi ekonomi, maka perlu bersama-sama menolak pembulian unilateral dan berusaha memelihara sistem perdagangan bebas serta kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan di peringkat global," kata beliau.
Xi menyatakannya semasa lawatan rasmi ke Vietnam, di sini semalam. Beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya daripada Parti Komunis Vietnam, To Lam.
Menyentuh tentang memperkasakan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Vietnam, Xi mencadangkan kedua-dua negara untuk terus menyuburkan rasa saling percaya dari segi strategi, mengukuhkan jaminan keselamatan, menggalakkan kerjasama yang berkualiti dan saling menguntungkan. Beliau turut menekankan kepentingan memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat, menjalankan koordinasi pelbagai hala yang lebih erat dan merancakkan interaksi yang lebih proaktif dalam bidang maritim.
Xi menambah bahawa kedua-dua negara perlu mengambil tindakan yang tulen dalam melaksanakan konsensus yang tercapai, menangani isu maritim dengan berhemah, memperkasakan kerjasama maritim, menunjukkan keazaman dalam mejalankan penerokaan bersama dan berusaha memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan seawal mungkin.
Sementara itu To Lam berkata pihaknya berpegang teguh kepada dasar Satu China, dan dengan tegas menentang sebarang gerak-geri kuasa "kemerdekaan Taiwan" yang bertujuan memisahkan pulau itu dari China.
"Vietnam berharap untuk meningkatkan pertukaran peringkat tinggi antara Parti dan negara kedua-dua pihak, memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, memperkasa kerjasama dua hala dan menggalakkan pertukaran dalam bidang sosiobudaya.
"Selain itu, Vietnam juga bersedia berusaha dengan China berhemah menangani perselisihan maritim demi kestabilan serantau," katanya.
Selepas perbincangan itu, pemimpin China dan Vietnam telah menghadiri majlis menandatangani 45 dokumen kerjasama dua hala yang merangkumi sektor kesalinghubungan, kecerdasan buatan, pemeriksaan dan kuarantin kastam, perdagangan hasil pertanian, kebudayaan dan sukan, kesejahteraan hidup rakyat, pembangunan sumber modal insan, media dan lain-lain.
Kedua-dua pihak juga mengeluarkan kenyataan bersama untuk terus memperkukuh perkongsian strategik komprehensif dan mempercepatkan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Vietnam dari segi strategi.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial