Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad & Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) (2025-2028) akan memperkukuh peranan ASEAN sebagai piawaian global dalam tadbir urus dan pembangunan mampan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata pelan tindakan itu bertujuan memastikan keyakinan dalam kalangan bakal pelabur dan pembiaya bersama, yang seterusnya memberi manfaat nyata kepada negara anggota ASEAN dalam membangunkan projek infrastruktur yang mampan dan berdaya tahan sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ASEAN untuk tempoh akan datang.
“Sebagai pengerusi AIF dan pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berbangga dengan kemajuan yang dicapai oleh dana ini dan visi transformasi yang didukungnya.
“Malaysia yakin AIF merupakan mekanisme penting untuk mengatasi cabaran infrastruktur di rantau ini, dan kami menyokong penuh evolusinya ke arah ASEAN yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif,” katanya pada majlis pelancaran pelan tindakan itu di sini, hari ini.
Amir Hamzah juga mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah AIF atas komitmen mereka serta Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN (AFMM) atas sokongan terhadap Pelan Tindakan 2025-2028 itu dan menekankan pelan itu adalah antara Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang dibawa Malaysia.
Menteri Kewangan II turut mengucapkan penghargaan kepada Bank Pembangunan Asia (ADB) selaku pentadbir AIF atas segala usaha dalam menjayakan inisiatif itu.
Beliau berkata selama lebih 14 tahun, AIF telah melakukan peranan penting dalam menyokong keperluan pembangunan infrastruktur rantau ini.
Sejak ditubuhkan, AIF telah membiayai 15 projek utama merentas pelbagai sektor seperti pertanian, sumber asli, pembangunan luar bandar, pengangkutan, tenaga, air dan pembangunan bandar -- semuanya penting dalam mempertingkatkan kesalinghubungan serantau dan integrasi ekonomi.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata Kemudahan Kewangan Hijau Pemangkin ASEAN (ACGF), yang dilancarkan pada 2019, adalah satu inisiatif penting dan berwawasan di bawah payung AIF.
ACGF berfungsi sebagai pemangkin untuk kewangan hijau, membantu negara ASEAN mengakses sumber kewangan yang diperlukan bagi melaksanakan projek infrastruktur yang mampan dari segi alam sekitar.
“Sejak 2024, AIF telah melalui perubahan transformasi dalam pendekatannya terhadap pembangunan infrastruktur dengan secara rasmi beralih menjadi ‘dana hijau’.
“Peralihan ini membuktikan komitmen yang lebih kukuh oleh AIF untuk menyokong projek infrastruktur yang mampan, rendah karbon dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim selaras dengan matlamat pembangunan ASEAN yang lebih luas,” katanya.
Amir Hamzah juga berkata tema kepengerusian ASEAN oleh Malaysia iaitu Keterangkuman dan Kemampanan turut diterapkan dalam AIF.
“Ketika mengharungi tempoh ketidakpastian global ini, penting untuk negara Asia Tenggara bersatu bagi memajukan matlamat bersama kita.
“Kami menanti untuk bekerjasama dengan semua rakan pemegang saham kami (kesemua 10 negara ASEAN dan ADB) dalam AIF, dengan rakan ACGF dari seluruh dunia, dan dengan pentadbir AIF untuk merealisasikan visi yang tinggi dan penting mengenai keterangkuman dan kemampanan dalam pembiayaan infrastruktur masa depan rantau ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Presiden ADB, Masato Kanda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial