Oleh M.Saraswathi
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) - Malaysia mengalu-alukan langkah Amerika Syarikat (AS) untuk menangguhkan sementara tarif lebih tinggi ke atas banyak rakan dagangannya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau, bagaimanapun, mengakui ketidaktentuan ini mewujudkan cabaran besar terhadap ekonomi ASEAN.
"Perubahan terkini ini pastinya antara topik perbincangan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan saya pengerusikan pagi ini," kata Tengku Zafrul menerusi hantaran di platform media sosial beliau hari ini sambil menekankan bahawa tiada yang pasti tentang tarif Presiden Donald Trump selain ketidaktentuan.
Mesyuarat khas itu adalah untuk membincangkan tindak balas yang diselaraskan daripada blok itu terhadap tarif timbal balik yang dikenakan Trump.
"Malaysia sedang giat menilai implikasi daripada perubahan ini dan kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN dalam mengurangkan gangguan, memperkukuhkan daya tahan ekonomi serantau, dan memperjuangkan hubungan perdagangan yang seimbang serta stabil,” katanya.
Beliau menegaskan perpaduan ASEAN dan integrasi ekonomi serantau akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini, dan Malaysia mengalu-alukan sokongan daripada rakan-rakan yang berkongsi visi ini dan mahu melihat rantau itu berjaya.
Menurutnya, Malaysia sentiasa menjadi dan akan terus menjadi rakan perdagangan dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara, termasuk China dan AS.
"Kita komited untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan dalam isu perdagangan dengan AS,” katanya.
Tengku Zafrul berkata Malaysia juga akan meneruskan strategi sedia ada untuk mempelbagaikan perdagangan dan meneroka pasaran baharu, serta memperdalam hubungan dengan pasaran sedia ada.
"Kita juga akan meningkatkan usaha dalam agenda pembaharuan ekonomi negara untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing.
"Keutamaan kita adalah untuk mengharungi landskap yang sentiasa berubah ini sambil melindungi kemakmuran ekonomi negara kita,” katanya.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), Trump pada Rabu berkata beliau telah mempertimbangkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik yang dikenakan ke atas rakan dagang negara itu "sejak beberapa hari lalu" dengan memetik penglibatan diplomatik dan muhibah sebagai faktor di sebalik langkah tersebut.
Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama beliau menaikkan tarif AS ke atas import China kepada 125 peratus.
Negara anggota wilayah Indochina ASEAN paling teruk terjejas akibat tarif AS, dengan Kemboja dikenakan tarif berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus).
Manakala Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia kedua-duanya 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial