EKONOMI > BERITA

ASEAN PERLU KEKAL BERKECUALI DALAM PERANG DAGANGAN KUASA BESAR EKONOMI

10/04/2025 09:51 AM

Oleh Mikail Raj Abdullah dan Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- ASEAN perlu mengekalkan pendirian berkecuali dalam bahang perang dagangan global berkaitan tarif membabitkan kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan China, kata mantan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Andrew Sheng.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk cenderung kepada salah satu kuasa besar itu, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara anggota ASEAN turut berkait dari segi dagangan dan pelaburan dengan Washington dan Beijing.

“Tindakan untuk memihak mana-mana negara itu bukanlah sesuatu yang sihat,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat berkaitan, di sini, pada Rabu.

Sehubungan itu, Sheng yang juga Pengerusi Institut Pengajian Terbuka dan Lanjutan George Town dan Felow Kehormat Institut Penyelidikan Pasaran Modal berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, mempunyai pengaruh bagi membantu membentuk pandangan perkumpulan ke arah berkecuali menjelang sidang kemuncak pemimpin ASEAN pada 26-27 Mei ini.

“Pendirian berkecuali ASEAN adalah kritikal sekarang," katanya.

Sheng berkata sejak Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif terhadap 168 negara pada 2 April lepas, Washington dan Beijing saling berbalah dengan tindak balas di peringkat masing-masing.

Keadaan memuncak dengan tindakan AS mengumumkan kejutan tarif berkadar 104 peratus ke atas import China manakala Beijing memberi reaksi balas dalam bentuk levi import 84 peratus ke atas barangan Washington yang memasuki pasarannya.

Ini turut mencetuskan tindak balas global dengan Kanada menyusuli China dan mengenakan tarif 25 peratus ke atas import kenderaan terpilih AS.

Kesatuan Eropah (EU) yang merangkumi 27 negara anggota juga berhasrat mengenakan tarif balas ke atas AS telah menyatakan kesediaan untuk berbincang terlebih dahulu.

Dalam perkembangan terkini pagi ini, Trump bertindak menangguhkan tarif timbal balas itu selama 90 hari dan mengenakan tarif lebih rendah berkadar 10 peratus, namun menaikkan tarif ke atas barangan China kepada 125 peratus.

Selain menjejaskan pasaan global dan mencetuskan kekalutan terhadap sistem dagangan dunia, perang dagangan itu juga menimbulkan kebimbangan dari segi peningkatan inflasi dan berlakunya kemelesetan global.

Ditanya sama ada sekarang tepat masanya untuk ASEAN+3 (China, Korea Selatan dan Jepun) bersatu dalam menentang AS, Sheng berkata : “Jelas sekali tidak kerana (kedudukan) AS sebagai kuasa besar yang juga pengimport terbesar bagi semua yang dikeluarkan.”

Sheng turut menyamakan ketegangan AS-China itu sebagai perang antara gajah manakala negara-negara kecil adalah Sang Kancil “yang perlu jelas mengenai cara untuk kekal tangkas, pantas serta fleksibel.”

Pada masa sama, katanya, negara-negara Asia Tenggara perlu menegaskan kepelbagaian serta kekuatan ekonomi masing-masing.

Dalam usaha menjalankan perniagaan, mereka perlu mengamalkan pendekatan perdagangan secara terbuka yang membolehkan fleksibeliti serta perincian dalam memilih rakan tanpa perlu mendedahkan identiti mereka.

Mengulas dakwaan bahawa negara Indo-China seperti Kemboja dan Laos sebagai paling teruk terjejas kerana kebergantungan terhadap China, Sheng berkata tanggapan itu tidak tepat kerana kedua-duanya amat bergantung kepada pasaran AS.

Atas alasan itu, katanya, AS mahu mengingatkan Kemboja bahawa negara itu berurusan menjual barangannya kepada Washington.

Sheng juga menekankan bahawa kerjasama perdagangan dan pelaburan "bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata kerana setiap negara adalah berbeza (dan) selagi anda tangkas dan responsif, anda mampu bertahan."

“Ini memerlukan negara ASEAN terbuka kepada idea bahawa halangan bukan tarif (NTB) bukan semestinya kepentingan dilindungi yang anda tidak boleh hapuskan,” katanya.

Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN, berpeluang memperkenalkan idea baharu seperti Entiti Perniagaan ASEAN (ABE), yang disyorkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC), memberikan keistimewaan perdagangan kepada syarikat yang beroperasi di peringkat serantau.

Beliau berkata tarif mengejutkan Trump telah mencetuskan revolusi yang memerlukan ekonomi untuk menaik taraf dan mencapai daya saing, jika tidak mereka akan berisiko tewas kepada pasaran antarabangsa yang bergelora.

"Tarif telah mengubah persaingan kompetitif," katanya, sambil menambah ini bukan krisis tetapi lebih kepada kejutan besar yang berita baiknya adalah "anda melakukan sesuatu yang anda tidak mahu lakukannya" seperti mengurangkan NTB.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan