EKONOMI > BERITA

ANWAR DIJADUAL SAMPAIKAN PERNYATAAN BERSAMA ASEAN BAGI CAPAI KEBEBASAN EKONOMI, ELAK RISIKO GLOBAL

10/04/2025 08:43 AM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang berlangsung hari ini amat penting dalam usaha mendapatkan sokongan kalangan menteri untuk konsensus serantau bagi menghadapi tarif Amerika Syarikat (AS) yang membebankan.

Seperti yang telah ditekankan oleh para menteri, ahli ekonomi dan gabenor bank pusat selepas perbincangan menerusi beberapa mesyuarat persediaan beberapa hari lepas, ini pastinya adalah perjuangan yang mesti dimenangi Asia Tenggara dengan memperkukuh integrasi kewangan.

Usaha itu akan mengorak laluan untuk mempererat hubungan perdagangan dan pelaburan yang akan memperkuat ASEAN seterusnya menjadikan blok ini lebih berdikari secara ekonomi.

Dalam menghadapi cabaran besar susulan tarif yang dikenakan Washington, kalangan menteri kewangan dan gabenor bank pusat ASEAN dijangka menyuarakan pendirian lebih utuh selepas mesyuarat ini yang dipengerusikan oleh Malaysia.

Sebagai pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan pernyataan bersama yang disokong oleh menteri untuk perbincangan lanjut ketika mesyuarat pemimpin ASEAN yang dijadualkan di Kuala Lumpur bulan depan.

Sejak Isnin lepas, pegawai dari 10 negara anggota telah bersama-sama berusaha demi mencapai matlamat dalam membincangkan tiga Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang diketengahkan oleh Malaysia.

Hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN (AFMM), manakala Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour akan mempengerusikan Mesyuarat Gabenor Bank Pusat ASEAN (ACGM) dalam sesi berasingan.

Hari terakhir mesyuarat ini juga akan menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) 2025-2028.

AIF yang dilancarkan pada 2011 itu menyediakan pinjaman untuk projek negara atau yang dijamin kerajaan di rantau ASEAN melalui penyertaan yang dibiayai oleh pinjaman Bank Pembangunan Asia (ADB).

Menerusi jumlah ekuiti berbayar sebanyak US$485.3 juta, dana itu merupakan inisiatif pembiayaan terbesar kumpulan ini untuk infrastruktur berasaskan sumbangan negara anggota.

Para menteri dan gabenor bank pusat akan bertemu dengan pihak institusi kewangan antarabangsa sebelum AFMGM ke-12 bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Anwar.

Sejak Isnin, lebih 10 mesyuarat telah diadakan, termasuk mesyuarat peringkat tinggi dengan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC), Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN (EU-ABC) dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).

Semua mesyuarat dengan organisasi sektor swasta ini menumpukan kepada perkara kewangan, yang penting untuk meningkatkan daya tarikan serantau Asia Tenggara sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.

Lebih 300 perwakilan merangkumi kalangan menteri kewangan dan gabenor bank pusat ASEAN, institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta menyertai AFMGM ke-12, persidangan pelaburan serta pameran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan