Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berorientasikan eksport yang menyumbang lebih 99 peratus daripada ekosistem perniagaan ASEAN berisiko kehilangan US$237.5 bilion (US$1 = RM4.49) dalam hasil berpotensi jika mereka gagal beralih kepada amalan yang lebih lestari dan mampan.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Madelena Mohamed berkata PKS menghadapi struktur yang terhad dan halangan pelaksanaan tindakan iklim termasuk kekangan kewangan, jurang kemahiran dan akses yang tidak mencukupi kepada sokongan teknikal.
“Peralihan PKS bukan sekadar mengurangkan pelepasan karbon atau menggunakan teknologi yang lebih bersih tetapi juga memperteguh ekonomi untuk masa hadapan dengan meningkatkan kecekapan sumber, mengurangkan kos dan membina daya tahan terhadap iklim dan gangguan lain.
“Usaha ke arah pencapaian sasaran pelepasan sifar bersih di seluruh negara ASEAN menekankan realiti yang sangat penting iaitu pentingnya penyahkarbonan rantaian nilai terutamanya PKS untuk daya saing, pertumbuhan dan daya tahan serantau,” katanya dalam ucaptama Dialog Peringkat Tinggi Mengenai Daya Tahan Rantaian Bekalan: Pandangan Mengenai Penghijauan Rantaian Nilai bagi ASEAN di sini hari ini.
Madelena berkata Malaysia di bawah pengawasan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) telah memulakan mekanisme campuran rintis yang dikenali sebagai program Penghijauan Rantaian Nilai (GVC) pada 2023.
Beliau berkata program GVC ini memberikan sokongan kepada PKS melebihi akses kepada pembiayaan dalam peralihan mereka termasuk diberikan akses kepada latihan teknikal dan alat praktikal untuk memulakan peralihan ke arah penyahkarbonan operasi selain pembiayaan pada kadar yang kompetitif.
Menurutnya elemen utama program ini ialah peranan syarikat penaja yang lazimnya syarikat korporat besar untuk menyokong PKS dalam rantaian nilai masing-masing.
“Lebih 330 PKS telah menjalani latihan teknikal sejak permulaan program dan hampir separuh telah mula mengukur dan melaporkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) mereka.
“Alone we can do so little; together we can do so much. Berpegang kepada prinsip ini, kami menggabungkan tiga komponen utama iaitu kerjasama, inovasi dan penambahbaikan berterusan untuk mempercepat penyahkarbonan PKS yang menyertai GVC,” katanya.
Madelena berkata; pertama, pendekatan seluruh ekosistem adalah perlu untuk mencapai kemajuan yang bermakna.
Menurutnya kerjasama yang berkesan bermaksud mempunyai platform yang sama untuk semua pihak mencapai kemajuan berlandaskan kepakaran dan pengalaman satu sama lain yang membolehkan penyelesaian komprehensif bagi meningkatkan kebolehlaksanaan peralihan PKS.
“Contohnya, menerusi GVC kami telah melihat syarikat korporat besar berperanan sebagai penaja utama, membolehkan PKS memanfaatkan infrastruktur dan pengetahuan mereka untuk melaksanakan peralihan,” katanya.
Madelena berkata; kedua, mempunyai perkongsian sama menang akan memperkuat impak dan dengan sokongan yang betul, PKS lebih bersedia untuk menerima penyelesaian baharu.
“Kami mendapati cara insentif dan bantuan kewangan daripada syarikat korporat penaja serta institusi kewangan peserta membantu peralihan pembekal PKS mereka. Perkongsian pintar mengatasi kekangan sumber dan memupuk budaya inovasi,” katanya.
Beliau berkata; ketiga, meneruskan perubahan adalah sangat penting.
“Sistem perlu tangkas dan fleksibel untuk membuat penyesuaian dengan keperluan PKS yang berkembang,” katanya.
Menurutnya rangka kerja penyesuaian, penambahbaikan dasar yang berulang dan komitmen yang berterusan daripada semua pihak berkepentingan adalah sangat penting untuk merealisasikan impak serta memastikan perubahan yang berkekalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial