KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pasaran semikonduktor ASEAN berpotensi mencecah lebih US$52 bilion (US$1=RM4.49) menjelang 2032 sekiranya usaha ditumpukan kepada meningkatkan rantaian nilai, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata untuk mengembangkan pasaran semikonduktor rantau ini yang berjumlah lebih US$31 bilion pada 2023, ASEAN mesti melihat melangkaui volum dan menumpukan kepada nilai.
"Ini bermakna meningkatkan rantaian nilai -- kepada pembangunan reka bentuk, fabrikasi dan harta intelek (IP) -- supaya ASEAN bukan hanya sekadar menjadi tempat pemasangan inovasi, tetapi tempat bermulanya inovasi,” katanya.
Amir Hamzah berkata demikian menerusi ucapan alu-aluan pada perbincangan panel bertajuk “A nation that creates through catalysing ecosystems", salah satu program sampingan ASEAN (trek kewangan) yang diadakan di sini bersempena dengan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan.
Beliau berkata, tiada negara yang mencapai kedudukan yang diidamkan mereka secara sendirian.
"Taiwan tidak bangkit melalui bakat semata-mata, dan Amerika Syarikat (AS) tidak meneraju melalui modal semata-mata. Ia adalah ekosistem - padu, diselaraskan dan disokong - yang membawa perubahan.
“ASEAN perlu lakukan yang sama, dan kita perlu melakukannya bersama-sama,” katanya.
Amir Hamzah berkata perkumpulan itu mempunyai potensi besar untuk mengembangkan semikonduktornya kerana ia memiliki keupayaan industri yang kukuh, jurutera mahir, hab inovasi yang semakin canggih dan akses kepada beberapa pasaran pengguna dan perusahaan yang paling dinamik di dunia.
"Kekuatan ASEAN bukan terletak pada melakukan perkara yang sama di mana-mana -- tetapi melakukan perkara yang saling melengkapi bersama-sama. Dengan penyelarasan yang betul, kita boleh mengubah ASEAN menjadi kuasa semikonduktor bersepadu, tangkas dan bersedia menghadapi masa depan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata ASEAN mesti berhati-hati dengan keadaan yang boleh membantutkan pertumbuhan.
“Penyelarasan semula rantaian bekalan global yang disebabkan peningkatan ketegangan geopolitik dan dasar perlindungan perdagangan sedang membentuk semula model perdagangan dan pengeluaran global,” katanya.
Amir Hamzah berkata pengumuman Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini untuk mengenakan tarif timbal balik ke atas negara yang mempunyai lebihan perdagangan, termasuk tarif 24 peratus ke atas eksport Malaysia, bukanlah perkembangan terpencil tetapi sebahagian daripada peralihan ke arah dasar yang mementingkan diri sendiri.
Bagi ASEAN, katanya, langkah itu adalah titik perubahan -- yang memerlukan kejelasan, penyelarasan dan ketetapan kolektif.
"Tindak balas terbaik ASEAN adalah bukan beralih juga kepada dasar perlindungan perdagangan, tetapi maju melalui integrasi.
“Kita mesti mempelbagaikan rantaian bekalan kita, memperjuangkan keserantauan terbuka melalui rangka kerja seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), dan menggunakan sepenuhnya instrumen seperti Tingkap Tunggal ASEAN dan mengurangkan pergeseran serta membina kepercayaan," katanya.
Mengenai perkembangan lain, Amir Hamzah berkata ASEAN telah melahirkan lebih daripada 10 syarikat unicorn (syarikat pemula niaga bernilai lebih daripada RM1 bilion) dengan nilai gabungan melebihi US$34 bilion sejak 2012.
Bagaimanapun, beliau berkata, ekosistem pemula niaga rantau ini masih berdepan dengan masalah seperti akses pembiayaan tidak sekata, pasaran yang berpecah-belah dan sokongan terhad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial