KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah menyalurkan sepenuhnya bantuan khas sebanyak RM90 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sebagai komitmen tidak berbelah bagi syarikat itu terhadap kebajikan pesawah di negara ini.
Dalam kenyataannya, Bernas menekankan bahawa langkah itu selaras dengan janji syarikat itu untuk menyokong inisiatif Kerajaan MADANI dalam meningkatkan taraf hidup pesawah yang kurang berkemampuan dan memastikan keterjaminan makanan negara.
Menurut kenyataan itu, dana tersebut yang keseluruhan disumbangkan oleh Bernas tanpa menggunakan dana awam, disalurkan menerusi dua fasa dengan fasa pertama sebanyak RM60 juta dibayar secara berperingkat manakala bayaran terakhir RM15 juta telah diselesaikan pada 5 Mac lepas.
Menurut Bernas peruntukan tambahan RM30 juta seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Feb lepas, juga telah disalurkan sepenuhnya kepada kerajaan pada 28 Mac.
“Sebagai entiti swasta, semua sumbangan itu tertakluk kepada tadbir urus kewangan yang ketat bagi memastikan aspek pematuhan dan akauntabiliti,” menurut kenyataan itu.
Syarikat itu juga menegaskan sokongan berterusan kepada rancangan jangka panjang kementerian bagi meningkatkan kebajikan petani, menjamin kestabilan dan ketersediaan bekalan beras kepada seluruh rakyat Malaysia, serta berkerjasama rapat dengan KPKM dan pihak berkepentingan lain bagi melaksanakan inisiatif strategik yang mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial