EKONOMI > BERITA

TARIF AS: MASALAH DICIPTA SENDIRI, GUGAT EKONOMI GLOBAL

06/04/2025 01:14 PM

Oleh Sukudhew (Sukhdave) Singh

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Tarif baharu Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi dan langkah tindak balas yang tidak dapat dielakkan, adalah pendekatan perdagangan yang berbahaya dan tersasar.

Tidak seperti rundingan dua hala yang lebih bersasar, tarif yang tinggi ini mendatangkan kerosakan lebih meluas terhadap ekonomi. Dakwaan "timbal balik" adalah satu tipu daya; lebihan perdagangan tidak semestinya sama dengan manipulasi.

 

Kejatuhan Ekonomi: Ancaman Besar kepada Global

 

Tarif ini akan membantutkan pertumbuhan global, menaikkan harga, dan memburukkan lagi pengangguran, memudaratkan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah secara tidak seimbang, termasuk mereka yang berada di AS. Ini adalah strategi klasik "memapakan jiran" yang bertujuan untuk meningkatkan permintaan dan pengeluaran domestik mereka sendiri namun dengan cara mengorbankan rakan perdagangan.

 

 

Bebanan akan Turut Dirasai Pengguna AS Sendiri

 

Tanggapan bahawa pengeksport menanggung beban tarif adalah salah. Peningkatan kos disalurkan terus kepada pengimport dan pengguna AS, menjadikan barangan harian malahan lebih mahal lagi.

Tarif ini pada hakikatnya adalah cukai ke atas rakyat Amerika sendiri. Sudah tentunya, negara pengeksport akan mengalami pengurangan daya saing dan permintaan barangan mereka di AS. Namun, kesan riak melalui rantaian bekalan global yang kompleks akan meningkatkan kesan stagflasi tarif ini merentas negara di seluruh dunia, dan AS akan turut terkena tempiasnya.

 

Asia Tenggara: Berdepan Prospek Suram?

 

Negara-negara yang terintregasi secara mendalam dengan rantaian bekalan global, terutamanya di Asia Tenggara, berdepan prospek suram: kemerosotan imbangan pembayaran, penurunan nilai mata wang, pertumbuhan perlahan dan lonjakan inflasi.

 

AS Cetus Masalah Rumit Global

 

AS telah mencetuskan perang perdagangan, membawa pelbagai ancaman kepada ekonomi global. Potensi kerosakan bencana adalah nyata sekali, berkemungkinan jauh mengatasi jangkaan.

Justeru, kita amat memerlukan kepimpinan yang bertanggungjawab, terutamanya dari AS, untuk mengelakkan krisis ekonomi global. Ini bukan masanya untuk dasar perlindungan yang melulu; ini adalah masanya untuk mencapai diplomasi yang berdasarkan logik.

-- BERNAMA

 

Sukudhew (Sukhdave) Singh ialah Bekas Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia (BNM)

Hantaran komentar ini boleh diakses di: https://www.linkedin.com/in/sukudhew-sukhdave-singh 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan