DUNIA > BERITA

SETIAUSAHA AGUNG ASEAN HADIRI SIRI SIDANG KEMUNCAK SERANTAU UTAMA DI KUALA LUMPUR

22/05/2025 07:50 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 22 Mei (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn akan mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur minggu depan, menurut Sekretariat ASEAN pada Khamis.

Mesyuarat peringkat tinggi itu dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan atas jemputan Perdana Menteri merangkap Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjelang sidang kemuncak itu, Kao juga akan mengambil bahagian dalam beberapa mesyuarat menteri pada 25 Mei, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-29, Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-25 dan Majlis Penyelaras ASEAN ke-36.

Siri mesyuarat itu turut merangkumi sesi libat urus pemimpin ASEAN bersama wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).

“Kao dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin tinggi dari negara ASEAN, rakan luar ASEAN serta organisasi antarabangsa untuk bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama sedia ada, meneroka bidang baharu dan mempercepat usaha pembinaan Komuniti ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat-mesyuarat ini diadakan ketika ASEAN giat memperkukuh Visi Komuniti ASEAN 2045 sebagai hala tuju integrasi rantau itu bagi tempoh dua dekad akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan