DUNIA > BERITA

PERDANA MENTERI CHINA HADIRI SIDANG KEMUNCAK ASEAN-GCC-CHINA DI MALAYSIA

22/05/2025 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri China Li Qiang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China sulung di Kuala Lumpur minggu depan.

Lawatan itu atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini mempengerusikan ASEAN bagi tahun 2025.

Menurut Kementerian Luar China, Li akan berada di Malaysia dari 26 hingga 28 Mei.

Sidang Kemuncak tiga hala itu dijadual berlangsung pada 27 Mei, sehari selepas Sidang Kemuncak ASEAN bermula.

Malaysia menjadi tuan rumah kedua-dua mesyuarat yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara ASEAN, GCC dan China dalam sektor utama.

"Negara-negara ASEAN dan GCC merupakan anggota penting dalam kalangan ekonomi pasaran sedang pesat membangun di Asia dan Selatan Global," kata jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning di Beijing, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).

Beliau berkata sidang kemuncak itu juga akan menggalakkan pembangunan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China.

Sebelum tiba di Kuala Lumpur, Li akan mengadakan lawatan negara ke Indonesia dari 24 hingga 26 Mei atas jemputan Presiden Prabowo Subianto, menurut kenyataan kementerian itu di laman sesawangnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan