MADINAH, 13 Mei (Bernama-SPA) -- Presidensi Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada Isnin melancarkan pelan operasi berasaskan pelbagai teras bagi Masjid Nabawi sempena musim Haji 1446 Hijrah, yang bertujuan mempromosi pendekatan sederhana serta menyampaikan mesej kemanusiaan ibadah haji.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), pelan itu merangkumi 100 inisiatif kesedaran serta lima laluan pintar yang memperkayakan pengalaman digital jemaah haji.
Selain itu, ia turut menyediakan 20 laluan ilmu yang merangkumi tujuh bidang kepakaran agama, bagi menyampaikan mesej haji kepada dunia dalam pelbagai bahasa, sambil menyokong mesej kesederhanaan dan keseimbangan yang dibawa Masjid Nabawi.
Pelan berkenaan berteraskan tiga tonggak utama. Pertama, memanfaatkan kesucian waktu haji dengan menekankan kepentingan ibadah itu serta mesej globalnya yang sederhana.
Kedua, mengukuhkan kesucian tempat dengan menyampaikan panduan daripada dua Masjid Suci kepada seluruh dunia. Ketiga, menyediakan pengalaman kerohanian yang berkualiti, cemerlang dan inovatif dalam rangka kerja berstruktur.
Usaha ini selaras dengan mesej kesederhanaan haji serta kesannya yang bersifat sejagat.
Dalam ucapannya semasa pelancaran pelan tersebut, Ketua Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Abdulrahman Al-Sudais menegaskan bahawa agensi hal ehwal agama Masjid Nabawi telah menggerakkan sepenuhnya segala sumber untuk memberi khidmat kepada jemaah dan memastikan mereka memperoleh pengalaman kerohanian yang istimewa.
Beliau menambah, pelan itu turut memanfaatkan alat transformasi digital dan kecerdasan buatan bagi mengatasi halangan masa dan jarak serta menyampaikan mesej haji yang sederhana dan bersifat kemanusiaan kepada dunia dalam pelbagai bahasa.
-- BERNAMA-SPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial