AM > BERITA

'Toruk Makto' TUDM Di LIMA'25

13/05/2025 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Pesawat pejuang Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tampil dengan wajah baharu sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25) dengan membawa gelaran istimewa iaitu ‘Toruk Makto’.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan rekaan corak baharu pada badan pesawat itu diilhamkan daripada makhluk legenda dalam filem Avatar, dikenali sebagai Toruk atau ‘The Last Shadow’.

Menurut kenyataan itu, dalam filem fiksyen tersebut gelaran Toruk Makto diberikan kepada mereka yang berjaya menjinakkan dan menunggang Toruk, dengan hanya yang berjiwa tulen dan suci mampu menunggang makhluk berkenaan

Dalam dunia nyata pula, juruterbang pesawat tempur Su-30MKM mencerminkan semangat yang sama kerana pesawat yang dilengkapi dengan teknologi generasi 4.5, keupayaan supermanuver dan senjata canggih itu bukan sekadar mesin perang, tetapi ‘makhluk besi’ yang memerlukan pengendali berjiwa besar. 

“Mereka adalah insan terpilih, bukan semata-mata kerana kehebatan mereka, tetapi kerana ketulenan jiwa mereka. 

“Dalam kokpit, seorang juruterbang perlu membuat keputusan dalam detik yang mendebarkan, kadangkala antara hidup dan mati. Keputusan yang hanya boleh dibuat oleh jiwa yang murni tanpa niat peribadi dan tanpa ego,” menurut kenyataan itu.

LIMA '25 bertemakan ‘Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan’ bakal berlangsung di Langkawi dari 20 hingga 24 Mei ini yang akan mempamerkan 102 pesawat serta 35 kapal tentera laut dari pelbagai negara.

LIMA merupakan antara pameran terbesar industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara yang dianjurkan sejak 1991.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan